Premis KK Mart di UM disimbah cat merah

Premis KK Mart di UM disimbah cat merah

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebuah cawangan kedai serbaneka di pusat pengajian tinggi awam di sini, disimbah cat merah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 8 pagi, hari ini.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 12.50 tengah malam apabila polis bantuan di universiti berkenaan dimaklumkan oleh pekerja kedai terbabit berhubung kesan cat berwarna merah di hadapan pintu kedai.

“Polis masih menjalankan siasatan kes ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mengecam kejadian menyimbah cat merah pada pintu premis KK Mart di dalam kampus universiti itu dan menggesa pihak pentadbiran universiti menyiasat insiden terbabit.

Dalam satu kenyataan, Presiden Umany Lim Jing Jet dipetik berkata, masih belum jelas sama ada kejadian itu berkaitan dengan kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ baru-baru ini dan mengutuk tindakan berkenaan sebagai tindakan keterlaluan.

Lim dilaporkan berkata, insiden itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan di kampus dan menggesa pihak universiti mengambil langkah untuk meningkatkan keselamatan, termasuk memasang lebih banyak kamera pemantauan serta meningkatkan rondaan keselamatan.

Sebelum ini, premis berkenaan terpalit kontroversi berhubung penjualan sandwic ‘ham & cheese’ yang didakwa menggunakan logo halal secara tidak sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top