KPT sudah longgarkan syarat kelayakan STEM di IPTA, politeknik

KPT sudah longgarkan syarat kelayakan STEM di IPTA, politeknik

am@hmetro.com.my

Ipoh: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil langkah melonggarkan syarat kelayakan bagi pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk politeknik, sebagai usaha menangani kekurangan graduan dalam bidang kritikal itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan pelajar yang tidak mengikuti pengajian STEM tulen di sekolah turut diberi peluang melanjutkan pengajian ke politeknik, sekali gus memenuhi keperluan tenaga kerja berkualiti dalam sektor berteknologi tinggi.

“Sekarang ini pun sebenarnya kita sudah turunkan (longgarkan syarat), dan kita banyak menerimanya di politeknik kita.

“Sekarang ini memang kita terpaksa adjust (menyesuaikan) supaya memberi ruang kepada (pelajar) yang bukan (bidang) STEM tulen untuk masuk ke bidang-bidang STEM, terutama di politeknik,” katanya ketika ditemui pemberita di Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh, di sini, petang tadi.

Mustapha berkata, Jawatankuasa Bakat STI (Sains, Teknologi, dan Inovasi) Negara juga sudah diwujudkan membabitkan tiga kementerian iaitu KPT, Kementerian Pendidikan (KPM), dan Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) bagi menangani isu kekurangan graduan bidang STEM.

Katanya, jawatankuasa khas yang sudah diwujudkan itu kini dalam proses perbincangan di peringkat jawatankuasa teknikal sebelum kaedah menangani masalah itu dibawa kepada mesyuarat antara menteri bagi kementerian terbabit untuk membuat dasar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini dilapor berulang kali menekankan kepentingan STEM, termasuk pada Disember lalu apabila kerjasama yang diperkukuhkan antara Malaysia dan Rusia, khususnya dalam bidang STEM, disifatkan sebagai platform berpotensi besar untuk kemajuan bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top