Arnab diserang kurap

Arnab diserang kurap

nurul_husna@hmetro.com.my

Arnab ialah haiwan yang lincah dan diketahui umum suka bermain.

Sifat semula jadi yang ingin tahu dan suka dibelai melengkapkan ciri-ciri haiwan yang sering diidam pemilik haiwan peliharaan.

Namun, tidak semua situasi dihadapi pemilik adalah sama di saat haiwan comel itu menggigit, menendang, menggaru atau tidak mahu dipegang.

Haiwan jinak yang secara tiba-tiba menjadi agresif ini selalunya disebabkan ia tidak selesa selain rasa terancam menyebabkan perubahan ‘mood’ yang mendadak.

Justeru sebagai pemilik yang prihatin, sebaiknya anda meneliti beberapa aspek yang mungkin menjadi punca kepada perubahan tingkah laku haiwan peliharaan anda itu.

Kebanyakan sifat agresif dan gigitan rambang arnab berpunca daripada ketakutan, perubahan hormon atau masalah perubatan.

Tanda-tanda agresif seperti mengeram, memukul, menggaru dan menggigit adalah lebih ketara apabila arnab semakin tua.

Antara masalah kerap berlaku pada arnab peliharaan yang boleh mengundang stres ialah masalah kurap.

Sebenarnya kurap boleh berlaku pada semua haiwan berbulu termasuk kucing dan anjing.

Biarpun isu kurap ini mudah ditangani, tetapi ramai pemilik gagal tangani punca kepada masalah kurap berlarutan.

Isu kebersihan dan penggunaan sangkar arnab tidak sesuai juga antara punca mengundang masalah kurap.

Selain itu, tindakan melengahkan kerja membersihkan najis dan membiarkan kencing arnab bertakung beberapa hari boleh mengundang kuman yang menjadi punca kurap.

Selain itu, penggunaan kayu dalam membuat sangkar juga tidak digalakkan. Ini kerana kayu mudah membiak bakteria dan hama.

Terutama jika kawasan persekitaran lembap dan musim hujan, risiko bakteria membiak lebih tinggi.

Disarankan pemilik menggunakan pembasmi kuman yang mana disembur secara berkala bagi mengekang pembiakan kuman termasuk hama.

Dalam kes arnab, pemilik akan mendapati gejala kurap bermula seperti berikut:

i. Arnab akan sering menggosok atau menendang kedua-dua kaki dan menggosok hidung kerana gatal.

ii. Perubahan pada bahagian tertentu seperti kuku yang mula menjadi kemerah-merahan dan ‘berkerak.’

ii. Begitu juga pada bahagian dalam telinga ada bintil halus terbentuk dan hidung juga mula mengalami radang sehingga ada lapis kulit seperti ‘berkerak.’

iii. Perubahan bau pada bulu atau badan arnab.

iv. Hilang selera makan.

Sebaik jika anda mendapati arnab kesayangan mula mengalami gejala awal terbabit, rujuk doktor veterinar berdekatan.

Biasanya arnab diberikan suntikan ubat kurap ‘Dectomax’ atau ‘Ivermec F’ pada kadar 0.1 mililiter (ml) atau kurang bagi berat sehingga lima kilogram (kg).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top