kartika@mediaprima.com.my
CABANG perniagaan perbankan kumpulan 7-Eleven, Seven Bank Ltd dari Jepun mengembangkan perniagaannya di Malaysia apabila menyasarkan memasang sebanyak 100 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di cawangan 7-Eleven terpilih terutama di kawasan pinggir bandar bagi tahun ini.
Presiden Seven Bank Ltd, Masaaki Matsuhashi berkata, pemasangan pertama sebanyak 100 mesin itu akan dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor dengan rancangan untuk meluaskan kawasan pemasangan ke Sabah dan Sarawak menjelang 2026.
Katanya, Seven Bank menyasarkan kawasan pinggir bandar untuk membolehkan penduduk yang mempunyai akses terhad kepada fungsi perbankan meraih manfaat daripada pemasangan ini.
“Kami merancang memasang perkhidmatan ATM ini di bawah jenama Reachful sebagai permulaan yang kukuh di Malaysia dan pertumbuhan berterusan perniagaan kami di luar negara.
“Melalui kerjasama dengan syarikat rakan kongsi kami untuk menyediakan perkhidmatan ATM di rangkaian kedai 7-Eleven di Malaysia, kami berharap dapat mempermudahkan kehidupan rakyat Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran mesin ATM Reachful di sini, semalam.
Sejak pemasangan ATM pertama di luar negara di Amerika Syarikat (AS) pada 2017, Seven Bank sudah mengembangkan perniagaannya di AS, Indonesia dan Filipina dengan lebih 21,000 pemasangan ATM pada 2024.
Malaysia akan menjadi pasaran keempat di luar negara asalnya, Jepun, dan syarikat itu berhasrat untuk memberikan nilai tambah yang unik dengan menggabungkan perkhidmatan runcit serta kewangan pada masa hadapan.
Mesin Reachful bukan sahaja berfungsi sebagai ATM, tetapi juga mesin kitar semula tunai (CRM) yang menggabungkan fungsi ATM dan Mesin Deposit Tunai (CDM).
Ini membolehkan pelanggan melakukan pelbagai transaksi, misalnya, pertanyaan baki, pengeluaran, deposit, pembayaran pembiayaan, pembayaran bil dan pemindahan dana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




