Rasa bersalah pula fikir bukan-bukan

Rasa bersalah pula fikir bukan-bukan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Butterworth: “Jujurnya memang berasa bersalah kerana fikir bukan-bukan terhadapnya tapi syukur apabila dapat bantu hantar sampai ke rumah,” kata pemandu e-hailing, Muhammad Asyraaf Azahari, 27, yang mendapat perhatian di TikTok baru-baru ini selepas memuat naik video seorang lelaki warga emas.

Menerusi video berdurasi 36 saat itu, Muhammad Asyraaf memohon maaf kerana membuat andaian salah terhadap lelaki itu disebabkan tidak tahu keadaan penumpangnya itu ada masalah berjalan dan bertongkat.

Meninjau ruangan komen, rata-ratanya kasihan melihat warga emas itu selain berterima kasih kepada Muhammad Asyraaf kerana membantu.

Berkongsi kisah sebenar, Muhammad Asyraaf berkata, video itu dirakam pada Ahad lalu kira-kira jam 10.30 malam sebaik tiba di sebuah pusat beli belah dekat Georgetown, Pulau Pinang untuk mengambil penumpang berkenaan.

Menurut Muhammad Asyraaf, pada awalnya, dia agak hairan mengapa penumpang itu membuat tempahan untuk menghantarnya ke rumah yang terletak bertentangan dengan pusat beli belah berkenaan.

“Saya memang berada di kawasan sekitar waktu itu dan bila dapat pesanan untuk ambil penumpang berkenaan tertanya juga kenapa dia tak berjalan saja.

“Ia kerana dia hanya perlu seberang jalan dari pusat beli belah untuk sampai ke rumahnya tapi saya tetap ke pusat beli belah untuk mengambilnya.

“Sampai di tempat mengambil penumpang, baru saya nampak bagaimana keadaannya dan sempat rakam video sebelum turun dari kereta untuk membantunya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dalam perjalanan yang singkat, Muhammad Asyraaf berkata, dia sempat bersembang dengan lelaki warga emas itu yang dianggarkan berusia lingkungan 70 tahun.

“Mulanya saya pelawa dia duduk di depan untuk mudahkan tapi dia nak duduk dekat belakang.

“Dalam perjalanan hantar ke rumah, saya tanya adakah dia keluar seorang diri dan memberitahu tiada masalah baginya keluar seorang kerana matanya masih nampak.

“Sampai di rumah, saya bantu dia jalan sampai di depan lif sebelum beredar,” katanya yang mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing secara sambilan.

Muhammad Asyraaf berkata, niatnya memuat naik video berkenaan sekadar untuk berkongsi pengalamannya.

“Malam itu juga saya muat naik video di TikTok dan keesokannya sedar banyak pesanan masuk.

“Ramai positif tapi ada juga segelintir yang negatif dan mempersoalkan kenapa tak bantu penumpang itu. Hakikatnya saya tolong cuma tidak pula rakam apa dilakukan itu.

“Apa pun, saya anggap pertemuan dengan penumpang itu ada hikmahnya kerana mengajar saya supaya selalu bersangka baik dengan orang lain dan sentiasa bersyukur kerana ada orang lebih kurang bernasib baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top