mdroji@bh.com.my
Kuching: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman ketua kampung, disyaki menyalahguna wang pampasan berjumlah kira-kira RM455,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Galvin Loo Wei Ling selepas menerima permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Bintulu, hari ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu telah ditahan kira-kira 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Bintulu.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga ketua kampung, dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2019 hingga 2023.
“Dia disyaki menyalahgunakan wang pampasan yang diserahkan oleh syarikat pembalakan yang sepatutnya disalurkan kepada penduduk rumah panjang, susulan projek pembalakan yang dilaksana di kawasan milik penduduk itu,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Menurutnya, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM9,500 dan satu unit telefon bimbit.
© New Straits Times Press (M) Bhd
