am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seramai 176 penternak mendesak agar pengusiran ternakan lembu mereka dari ladang milik syarikat berkaitan kerajaan, SD Guhtrie Bhd, dihentikan.
Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional R Vijayagandi berkata, keputusan kerajaan negeri itu mengecewakan penternak yang sudah tiga generasi menjalankan penternakan di ladang berkenaan.
Menurutnya, kenyataan dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa negeri Datuk Rizam Ismail berhubung isu itu pada 19 Disember lalu juga perlu ditarik balik.
“Kerajaan negeri juga perlu campur tangan serta menasihati agar membatalkan notis pengusiran ternakan yang dikeluarkan oleh SD Guthrie pada 31 Disember lalu kepada semua penternak di ladang terbabit.
“Berdasarkan notis berkenaan, semua penternak diberikan tempoh sebulan sehingga 31 Januari ini,” katanya dalam sidang media di perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK), di sini, hari ini.
Dia bersama 12 penternak dibenarkan masuk ke Bangunan SUK bagi menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Menteri Besar Selangor.
Mereka adalah sebahagian daripada lebih 100 individu yang hadir mengadakan bantahan secara aman di hadapan pintu masuk utama Bangunan SUK.
Vijayagandi berkata, semua penternak terbabit dalam isu ini adalah warga tempatan yang menjalankan penternakan tenusu serta daging sejak zaman nenek moyang mereka lagi.
“Kami harap pihak Menteri Besar dapat mempertimbangkan tuntutan kami, tidak mencicirkan kami kerana kami juga penyumbang kepada ekonomi dan jaminan makanan,” katanya.
Sementara itu, penternak R Shilah, 42, berkata, dia buntu memikirkan tarikh 31 Januari semakin hampir dan tidak tahu ke mana hendak dibawa lembu ternakannya kelak.
“Saya hampir 10 tahun menjadi penternak. Saya menyambung kerja yang dilakukan oleh ibu saya sebelum ini.
“Ini sumber pendapatan utama keluarga kami sejak dahulu. Saya menternak 40 lembu.
“Dalam notis itu, tidak dinyatakan tempat baharu untuk lembu kami yang banyak itu.
“Ke mana saya hendak bawa lembu, saya tiada tempat lain, sebab itu kami datang ke sini untuk merayu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

