am@hmetro.com.my
Alor Setar: Keputusan kerajaan negeri untuk menamatkan perkhidmatan kontraktor projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling sudah dimaklumkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu diambil selepas kontraktor gagal memenuhi lanjutan masa (EOT) terakhir yang tamat pada bulan ini.
“Kita telah menghantar notis penamatan kepada kementerian untuk kelulusan seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang dan peraturan.
“Saya tidak dapat pasti tarikh surat tersebut, tetapi dokumen itu sudah berada dengan Petra,” katanya yang ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan Tahun Baru Cina kepada penerima kurang berkemampuan di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi turut menafikan dakwaan kerajaan negeri sengaja melengahkan tindakan penamatan perkhidmatan kontraktor berkenaan.
Katanya, tindakan itu adalah langkah terakhir kerajaan negeri untuk mengelakkan proses tender semula yang akan mengambil masa lebih lama.
“Projek ini tertangguh kerana kontraktor perlu menyelesaikan pemerolehan dua lot tanah bagi mendapatkan laluan akses ke tapak projek.
“Faktor kedua adalah kenaikan harga bahan binaan yang meningkat tiga kali ganda. Itulah masalah yang dihadapi oleh kontraktor,” katanya.
Muhammad Sanusi juga menolak dakwaan bahawa proses penamatan ditangguhkan kerana kontraktor mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri.
“Proses tender semula makan masa. Itu adalah perkara terakhir yang ingin kita lakukan kerana apabila projek diadakan tender semula, kontraktor baharu akan dilantik dan kita wajib membenarkan syarikat itu melaksanakan projek mengikut peraturan.
“Tiada unsur salah laku, proses tender semula akan diuruskan oleh jabatan dan agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan, bukan oleh Menteri Besar atau ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyatakan kebimbangan kementerian terhadap kemajuan projek LRA Sungai Limau selepas kerja pembinaan di tapak itu terhenti sejak Julai lalu.
Katanya, projek yang bermula pada 2021 itu merangkumi 15 komponen tetapi sehingga kini, tiada satu pun komponen yang disiapkan, malah ada yang belum dimulakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




