Gangguan lalat: DVS tolak permohonan pembaharuan lesen premis ternak ayam

Gangguan lalat: DVS tolak permohonan pembaharuan lesen premis ternak ayam

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) menolak permohonan pembaharuan lesen penternakan premis yang didakwa menjadi punca kepada gangguan ribuan lalat di Kampung Ladang Batu, Tanjung Sepat di Kuala Langat, dekat sini.

Pengarah Veterinar Selangor, Dr Hassuzana Khalil berkata, terdapat dua daripada tujuh premis yang berada di kawasan sekitar kampung terbabit ditolak permohonan untuk memperbaharui lesen penternakan unggas bagi sesi 2025.

“Permohonan mereka ditolak kerana gagal mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan selain dikesan menjadi salah satu punca kacau ganggu lalat di sekitar lokasi aduan.

“DVS Selangor mengeluarkan notis berhubung penolakan permohonan pembaharuan lesen itu semalam ketika menyertai operasi bersepadu yang dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

“Tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan undang-undang akan dijalankan oleh DVS Selangor dari semasa ke semasa ke atas premis yang menjalankan penternakan unggas tanpa lesen,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Hassuzana berkata, segala tindakan yang diambil oleh DVS Selangor ke atas pemegang lesen atau mana-mana individu yang menjalankan penternakan unggas tanpa lesen adalah mengikut prosedur dan peruntukkan undang -undang mengikut Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007.

Mengulas mengenai operasi semalam katanya, tiada tindakan diambil oleh DVS memandangkan tiada sebarang unggas berada di premis semasa pemeriksaan dibuat.

“Manakala, MPKL mengambil tindakan penyitaan ke atas satu premis yang dipercayai menyebabkan kacau ganggu kehadiran lalat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top