Los Angeles: Seorang hakim persekutuan pada Khamis meletakkan sekatan sementara terhadap percubaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menyekat kewarganegaraan berdasarkan hak kelahiran.
Keputusan itu mengenakan penangguhan 14 hari ke atas penguatkuasaan salah satu perintah eksekutif paling kontroversi yang ditandatangani Trump dalam beberapa jam selepas dia mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua.
“Ini adalah perintah yang terang-terangan tidak mengikut perlembagaan,” Hakim Daerah AS John Coughenour dilaporkan berkata semasa perbicaraan di negeri Washington.
Trump memberitahu pemberita, pentadbirannya “jelas” akan merayu keputusan itu, manakala Jabatan Kehakiman berkata, ia akan mempertahankan perintah eksekutif, yang seorang jurucakap berkata, “mentafsir dengan betul” Perlembagaan AS.
“Kami berharap untuk membentangkan hujah penuh merit kepada Mahkamah dan kepada rakyat Amerika, yang terdesak untuk melihat undang-undang Negara kita dikuatkuasakan,” kata jurucakap itu.
Kewarganegaraan berdasarkan hak kelahiran termaktub dalam Perlembagaan AS di bawah Pindaan ke-14 yang menetapkan bahawa sesiapa yang dilahirkan di bumi AS adalah warganegara.
Ia berkata, sebahagiannya: “Semua orang yang dilahirkan atau dinaturalisasikan di AS, dan tertakluk kepada bidang kuasanya, adalah warganegara AS dan negara tempat mereka tinggal.”
Perintah Trump didasarkan pada idea bahawa sesiapa sahaja di AS secara haram, atau dengan visa, tidak “tertakluk kepada bidang kuasa” negara itu, dan oleh itu dikecualikan daripada kategori ini.
Keputusan itu dibuat selepas saman berhubung perkara itu difailkan oleh 22 negeri, dua bandar dan banyak kumpulan hak sivil.
Ia dipuji oleh negeri-negeri yang mengambil bahagian dalam tindakan undang-undang berkenaan.
“Tiada presiden boleh mengubah perlembagaan dengan sesuka hati dan keputusan hari ini mengesahkannya,” kata Peguam Negara Arizona, Kris Mayes.
© New Straits Times Press (M) Bhd
