kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, menerbitkan tranche kedua Sukuk Wakalah SRI Sosial Asean berjumlah RM400 juta dalam nilai nominal (Tranche Kedua).
Tranche Kedua itu juga di bawah program Sukuk Wakalah sedia ada LBS yang bernilai RM750 juta dan turut diberi penarafan AA-IS dengan tinjauan stabil oleh MARC Ratings Berhad.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, penerbitan tranche kedua itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha kumpulan untuk mengintegrasikan elemen kemampanan ke dalam operasi perniagaan.
“Hasil daripada penerbitan ini akan membolehkan kami memperkukuh portfolio projek perumahan mampu milik, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti dan memupuk impak sosial yang positif.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk mengimbangi pertumbuhan perniagaan yang mampan dengan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, penerbitan ini mengukuhkan lagi dedikasi LBS dalam memenuhi keperluan masyarakat, selaras dengan perubahan dan perkembangan semasa.
Menurutnya, penyempurnaan tranche kedua ini terus mencerminkan penerimaan positif pasaran modal terhadap komitmen LBS dalam memastikan pertumbuhan dan pembangunan yang lestari.
Tranche kedua tanpa jaminan itu sudah diterbitkan dengan kadar pengagihan berkala sebanyak 4.81 peratus setahun dan tempoh matang selama tujuh tahun iaitu pada 23 Januari 2032.
Terbitan ini menerima sambutan menggalakkan daripada pelabur, dengan kadar lebihan langganan sebanyak 5.27 kali ganda, menghasilkan jumlah buku pesanan akhir sekitar RM2.1 bilion.
Permintaan yang tinggi, terutamanya daripada pelabur institusi, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap rekod prestasi LBS, hala tuju strategik dan amalan tadbir urus yang mantap.
Hasil daripada terbitan ini akan diperuntukkan mengikut Rangka Kerja Pembiayaan Kemampanan Kumpulan, bagi menyalurkan dana ke arah projek yang memberi tumpuan kepada rumah mampu milik, pembangunan komuniti dan kelestarian.
Inisiatif ini selaras dengan misi LBS untuk memacu impak positif kepada masyarakat dan mencipta nilai yang berkekalan untuk pihak berkepentingan.
Selain itu, penerbitan ini diuruskan oleh HSBC Amanah Malaysia Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad, yang bertindak sebagai pengurus utama bersama untuk Tranche Kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd




