Budak senang 'kena'

Budak senang 'kena'

razis@mediaprima.com.my

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan, pihaknya mengesan 327 sampel positif virus ‘human metapneumovirus’ (HMPV) pada 2024 berbanding 225 sampel positif pada 2023

HMPV adalah jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan HMPV bukan penyakit baharu dan di negara ini jangkitan HMPV tidak wajib dilapor mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Jabatan Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Petrick @ Ramesh K Periyasamy berkata, HMPV diklasifikasikan sebagai subfamili Pneumovirinae dalam keluarga Paramyxoviridae.

“Sebenarnya, HMPV bukan jangkitan baharu kerana ia menjangkiti manusia sejak 1958.

“Jangkitan mula dihuraikan secara terperinci pada 2001 oleh penyelidik dari Belanda,” katanya.

Beliau berkata, penyebaran virus biasanya berlaku melalui beberapa cara, antaranya:

a. Batuk dan bersin: Apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin, titisan pernafasan (droplet) mengandungi virus boleh tersebar ke udara dan dijangkiti orang lain yang berada berhampiran.

b. Bunyi nafas berdehit: Bunyi pernafasan berdehit boleh mengandungi virus dan menyebarkannya kepada orang lain terutama dalam situasi di mana saluran pernafasan seseorang yang dijangkiti sempit.

c. Kontak rapat: Virus boleh merebak apabila seseorang berada dalam jarak dekat dengan individu dijangkiti seperti berpelukan, berjabat tangan atau berada di ruang tertutup bersama-sama.

d. Sentuhan objek yang dijangkiti: Virus boleh kekal hidup pada permukaan objek seperti pintu, tombol, telefon, atau perabot. Jika seseorang menyentuh permukaan ini dan menyentuh mulut, hidung, atau mata mereka, virus boleh masuk ke dalam badan dan menyebabkan jangkitan.

Menurutnya, kanak-kanak boleh menjadi pembawa dan menyebarkan virus untuk tempoh seminggu hingga dua minggu dan golongan ini paling kerap dijangkiti serta berisiko dijangkiti berulang kali.

“Selain itu, kanak-kanak seawal usia enam bulan boleh dijangkiti virus itu,” katanya.

Jelasnya, sesiapa sahaja boleh dijangkiti namun kanak-kanak lebih cenderung dijangkiti.

“Bagi orang dewasa, mereka yang berisiko tinggi termasuk individu dengan masalah jantung, HIV, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), sistem imun lemah dan mereka yang berusia lebih 65 tahun,” katanya.

Dr Petrick berkata, setakat ini belum ada vaksin berkesan untuk menangani penyakit HMPV.

“Jika mengalami gejala HMPV, anda dinasihatkan berjumpa doktor dan boleh menjalankan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) seperti Covid-19 di sesetengah hospital.

“Bagi mereka yang berisiko risiko tinggi, anda boleh dapatkan rawatan simptomatik seperti bronchodilators dan corticosteroids (untuk asma) dan oksigen.

“Untuk mengelak jangkitan, pastikan anda sentiasa cuci tangan, amalkan etika batuk serta memakai pelitup muka jika tidak sihat walaupun ketika berada di rumah.

“Selain itu, golongan berisiko tinggi perlu berada pada jarak sekurang-kurangnya satu hingga dua meter dari pesakit dijangkiti,” katanya.

Dr Petrick berpandangan selepas Covid-19, tahap kesedaran masyarakat terutama rakyat Malaysia adalah lebih baik.

“Kita dapati ramai masyarakat memakai pelitup muka di tempat berisiko seperti di hospital dan di tempat sesak.

“Saya menasihatkan masyarakat supaya sentiasa membasuh tangan dengan betul, mengamalkan etika batuk, dan kepada mereka yang berisiko tinggi, sila dapatkan rawatan di hospital sekiranya ada tanda sesak nafas dan sebagainya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top