'Manisnya dunia custom'

'Manisnya dunia custom'

lizamridzuan@hmetro.com.my

Motosikal cub terutama Honda C70 begitu popular ketika era 70-an hingga 90-an sebagai kenderaan utama masyarakat pada zaman itu dan hari ini ia kembali diminati terutama golongan muda.

Untuk itu tiga beradik dari Kuala Kangsar, Perak iaitu Mohammad Shahril Zahari, 42, Zahiruddin, 38, dan Muhammad Shukry, 26, dari Kapcai2beradik Brothers mula serius dengan dunia pengubahsuaian cub pada 2018 dari gaya retro kepada sentuhan lebih ‘muda.’

Menurut Zahiruddin, dia dan dua adik beradiknya lebih tertumpu kepada minat dan hobi dalam penghasilan modifikasi cub kerana mahukan menyerlahkan bakat serta kreativiti masing-masing.

“Sebagai orang yang berjiwa muda kami sentiasa berminat dalam dunia modifikasi dan semua kerja dilakukan sendiri untuk koleksi simpanan. Jika ada permintaan pelanggan kami akan lakukan, tapi bukan sebagai keutamaan,” katanya.

Kebanyakan motosikal cub diperoleh dengan mencari pemiliknya di kampung terutama golongan tua yang sudah tidak menggunakannya lagi. Jika masih dalam keadaan baik ia dibeli pada kos sekitar di bawah RM1,500 dan jika ‘tersadai’ dan reput pula di bawah RM700.

Sudah pasti kepuasan menghasilkan setiap rekaan fokus utama tiga beradik ini kerana ia tidak dijual di mana-mana dan mereka antara yang memiliki motosikal cub yang unik dan pelik itu.

Biasanya, kos bergantung kepada jenis modifikasi dilakukan dan ia bermula antara RM3,000 sehingga RM10,000 terutama jika mahukan sesuatu yang ekstrem dan tempoh masa panjang untuk penghasilannya.

“Cabaran utama sudah pasti tidak semua yang dilakukan berhasil. Malah, ada yang tidak menjadi dan perlu dilakukan lagi proses ‘binaannya’ sehingga berjaya selain membabitkan penambahan kos dan masa.

“Namun itulah sebenarnya kemanisan dalam dunia ‘custom’ ini. Apabila sudah siap sepenuhnya ia sentiasa menjadi tarikan ketika di jalanan dan dalam acara motosikal yang kami sertai,” katanya yang turut berniaga apam balik di pasar malam sekitar Perak.

Buat masa ini mereka memiliki lebih 30 motosikal cub diubah suai dengan ciri rekaan seperti limosin (pertama di Perak) serta ekstrem.

Kemahiran menghasilkan binaan khas motosikal ini diperoleh selepas bekerja di bengkel kimpalan milik abangnya Muhammad Shahril sehingga berjaya menghasilkan motosikal cub pertama yang melonjakkan minat mereka sehingga kini.

Bagaimanapun, aspek keselamatan perkara utama dan setiap motosikal yang dihasilkan dilengkapi dengan brek cakera lebih baik daripada model asal.

Menariknya, ketiga-tiga beradik ini pernah menjelajah Semenanjung Malaysia 12 hari dengan menunggang motosikal cub yang diubah suai dan meskipun begitu setiap motosikal lengkap dengan cukai jalan yang sah.

Mengenai hala tuju kerja modifikasi, tiga beradik berkenaan berhasrat untuk terus menghasilkan rekaan unik pada masa hadapan dan berharap dapat bersaing dengan motosikal baharu daripada nilai estetika dan usaha itu menjadi inspirasi kepada yang lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top