Pyongyang: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menuntut rakyatnya menyumbang 500 kilogram (kg) najis masing-masing untuk digunakan sebagai baja dalam sektor pertanian.
Baja berkenaan akan digunakan untuk menyuburkan tanaman sebagai persediaan musim bunga.
Dianggarkan purata rakyat Korea Utara menghasilkan hanya 142 kg najis setahun.
Warga Korea Utara yang lebih muda, termasuk individu di sekolah rendah, menengah, dan menengah atas, dijangka memenuhi kuota yang lebih rendah iaitu hanya 200 kilogram.
Menurut Radio Free Asia (RFA), orang dewasa mempunyai masa sehingga 20 Januari untuk menderma 500 kg, manakala pelajar sekolah rendah, menengah, dan menengah atas perlu memenuhi kuota 200 kg bagi mengelakkan hukuman.
“Jumlah itu jauh lebih banyak daripada 142 kg yang rata-rata orang buang air dalam setahun, jadi peniaga boleh mengaut keuntungan dengan membeli dan menjualnya di pasaran gelap. Orang ramai juga mengambil jalan keluar dengan mencuri najis dari bilik mandi awam dan rumah masing-masing,” lapor radio berkenaan.
Panik besar-besaran menyebabkan najis diperdagangkan di pasaran gelap, dengan laporan beberapa rakyat Korea Utara cedera parah akibat berebut najis.
Seorang penduduk tempatan memberitahu RFA, dua lelaki di daerah Unsan berlawan antara satu sama lain menggunakan kapak dan penyodok sehingga menyebabkan kecederaan parah.
“Seorang pekerja kilang cuba mencuri najis dari rumah luar bersebelahan dengan rumah lelaki lain.
“Apabila dia melihat pekerja kilang itu cuba mencedok isi jambannya, pemilik rumah itu keluar dengan penyodok dan memukulnya.
“Pergaduhan berkenaan berjaya dileraikan, dengan kedua-dua lelaki itu dibawa ke hospital,” katanya.
Selain itu, murid sekolah menengah dilaporkan ditangkap sedang mencari najis di dalam tandas awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




