Mengalami keradangan pita suara atau laryngitis sejak seminggu lalu, penyanyi Ernie Zakri meluahkan rasa kecewa tidak dapat berinteraksi dengan peminatnya di konsert Aura Ernie Zakri Live In Concert yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.
Biarpun sakit itu menyebabkan dia kehilangan suara, Ernie tetap meneruskan persembahan demi peminat yang menghadiri konsert solo pertamanya yang dianjurkan oleh SAH Entertainment.

“Saya dah mencuba menjaga apa yang termampu, tetapi ia tetap terjadi dan saya terkena jangkitan laryngitis.
“Sudah seminggu keadaan suara saya hilang. Di hari konsert, keadaan masih tak mengizinkan tetapi saya bersyukur kerana mendapatkan rawatan sebelum konsert bermula.
“Saya reda dan tawakal sahaja sebelum memulakan konsert. Ini yang termampu saya berikan dan saya harap peminat suka dan puas hati. Saya harap saya dapat bercakap dengan mereka tetapi saya diuji.

“Doktor sarankan saya tak bercakap langsung, tetapi saya degil memandangkan ia persembahan konsert debut saya.
“Alhamdulillah, semua selesai dan Allah beri rezeki untuk saya menyanyi malam ini. Saya beruntung ada penganjur yang baik dan memahami,” kata Ernie kepada XTRA.
Ernie ditemui usai Aura Ernie Zakri Live In Concert malam tadi.
Disarankan rehat selama dua minggu, Ernie sangat bersyukur suaminya, penyanyi Syamel memberikan dorongan tidak berbelah bahagi.

Lebih istimewa, kemunculan Syamel menambah kehangatan apabila pasangan ini mempersembahkan dua lagu romantik, Die With A Smile dan Aku Cinta.
“Sepanjang tempoh itu, saya sendiri tak boleh kalau tak ada Syamel di sisi saya. Dia juga penyanyi, jadi dia faham apa yang saya rasakan.
“Sejujurnya saya takut. Keadaan mental saya lemah dan saya rasakan menjadi titik terendah sepanjang karier. Saya berdoa kepada Allah agar dipermudahkan. Apa yang jadi, jadilah dan saya memberikan sehabis baik,” katanya lagi.


Konsert sulung Ernie turur diserikan dengan kehadiran keluarga dan rakan selebriti, termasuk ibu dan bapa saudara Ernie yang juga legenda industri muzik tanah air, Ziana Zain dan Anuar Zain.
Turut hadir adalah Datuk Syafinaz Selamat, Misha Omar, Aina Abdul dan Daiyan Trisha.
Walaupun berdepan dengan cabaran kesihatan, Ernie tetap memukau dengan persembahan vokal luar biasanya yang berjaya membuat penonton bangkit memberi standing ovation.
Antara lagu yang disampaikan oleh Ernie pada malam tersebut termasuk Aura, Jangan Hilang Percaya, Rindu Bukan Teman, Gundah, Misteri, Gelita, Jangan Marah, Ku Bersuara dan Boneka.
Anggota Dolla, Sabronzo turut tampil bersama Ernie menerusi lagu Luv dan bintang muzik terkenal Indonesia, Ade Govinda hadir memberi kejutan dan bergandingan untuk lagu Masing Masing dan Hal Hebat.




