“IRAQ dibedil lagi!”
Demikian suara emas Farit Ismeth Emir memecah kesunyian malam membuka tirai Berita Dunia Jam 10 di TV1. Berita yang sentiasa ditunggu-tunggu setiap malam pertengahan tahun 1991.
Ia adalah laporan harian serangan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq.
Pencerobohan Iraq ke atas Kuwait pada 2 Ogos 1990 dijadikan alasan untuk Amerika menghancur luluhkan Baghdad dan bandar-bandar utama lain di Iraq.
Hakikat sebenarnya, Amerika mempergunakan isu konflik Iraq-Kuwait sebagai batu loncatan untuk membina tapak yang kukuh menguasai (baca: menjajah) negara-negara Arab dan umat Islam.
Menjelang Perang Teluk 1990-1991, pakatan gerakan-gerakan Islam sedunia menghantar wakil dan membuat kunjungan hormat menemui pemimpin-pemimpin negara Arab.
Wakil dari Malaysia ialah Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan al-marhum Subki Latif.
Mereka bertemu Raja Fahad (Arab Saudi), Presiden Saddam Hussein (Iraq), Raja Husein (Jordan) dan Presiden Hashimi Rafsanjani (Iran).
Misi utama rombongan ini ialah untuk menyatu dan mendamaikan umat Islam. Apabila negara-negara umat Islam berbalah, maka musuh pasti ambil kesempatan.
Justeru seruan utama pemimpin-pemimpin gerakan Islam ini ialah:
1. Meminta Iraq berundur dari Kuwait.
2. Meminta semua negara yang berkonflik khususnya Arab Saudi agar jangan menjemput tentera asing, terutamanya Amerika Syarikat.
Jika sudah masuk, sukar untuk mereka keluar dari negara umat Islam.
Arab Saudi menolak saranan berkenaan dan menegaskan tetap akan menjemput tentera Amerika bagi menghalau Iraq dari Kuwait. Arab Saudi turut berjanji akan memastikan tentera Amerika pulang setelah tamat Perang Teluk.
Dengan itu bermula 17 Januari 1991 Baghdad diserang bertubi-tubi oleh tentera Amerika yang berpangkalan di Arab Saudi.
Laporan dari Pentagon mendakwa Amerika Syarikat menghantar 697,000 orang tenteranya untuk menggempur Iraq.
500,000 daripadanya berpangkalan di Arab Saudi. Suatu angka yang tidak memungkinkan Arab Saudi menghalau pulang mereka setelah tamat perang.
Apa yang dibimbangkan oleh pemimpin-pemimpin gerakan Islam menjadi kenyataan.
Perang Teluk telah 24 tahun berlalu. Tentera Amerika masih kekal bertapak di Arab Saudi, Kuwait dan beberapa negara Teluk yang lain.
Kewujudan pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara Arab menjadi sebahagian faktor negara-negara tidak berani bertindak membantu Palestin.
Biasa kita mendengar kewujudan pangkalan Amerika di negara-negara Teluk. Justeru, penulis suatu ketika dahulu menganggap Mesir sebuah negara Arab yang kuat ketenteraannya tidak ada pangkalan Amerika.
Apatah lagi Mesir dimomokkan sebagai negara yang memiliki tentera yang ‘tidak mungkin dikalahkan!’
Namun ketika berkunjung ke Semenanjung Sinai pada tahun 2002, penulis sangat terkejut apabila melintasi satu kawasan yang ada sebuah pangkalan tentera yang mengibarkan bendera Amerika Syarikat di tengah-tengah padang pasir Sinai!
Secara tanpa sedar kewujudan pangkalan-pangkalan tentera ini adalah satu bentuk penjajahan baru ke atas negara umat Islam.
Iraq
Amerika terus berkampung di Iraq pasca Perang Teluk 1991. Ketika Perang Teluk 2003, Amerika menempatkan 160,000 tenteranya di Iraq dan angka itu ada turun naiknya hingga kempen menentang ISIS 2014-2017.
Kepimpinan Barack Obama antara 2008 hingga 2016 membuat keputusan mengurangkan bilangan tentera Amerika di Iraq.
Daripada angka 74,000 orang pada tahun 2008, dikurangkan kepada 28,000 pada tahun 2016.
Di bawah pemerintahan Trump, beliau ‘orang bisnes’, bukan ‘orang perang’. Namun pada 2019 berlaku ketegangan antara Amerika Syarikat dengan Iran. Menyebabkan Trump membuat keputusan meningkatkan kekuatan tentera Amerika di Iraq.
Apabila meletusnya konflik Russia-Ukraine 2022, Amerika bertindak agresif meningkatkan kekuatannya di Iraq, Eropah Timur dan Laut China Selatan.
Kekuatannya di Timur Tengah diperkukuhkan dengan perwujudan pangkalan udara dan laut serta penghantaran kapal-kapal besar pengangkut pesawat.
Qatar
Pangkalan Amerika di Qatar bermula dengan persefahaman antara dua negara pasca Perang Teluk pada tahun 1992.
Amerika menghantar 13,000 tenteranya ke negara kecil itu di samping membina pangkalan udaranya yang terbesar di luar Amerika.
Menjelang 2021, Amerika memiliki 3 pangkalan di Qatar.
Kuwait
Kuwait sememangnya mempunyai hubungan yang intim dengan Amerika Syarikat sejak Perang Teluk 1991. Terhutang budi dengan Amerika yang berjaya menghalau Iraq dari negara kecil itu, maka tentera Amerika mendapat tempat yang istimewa di Kuwait.
Pada 2003, pangkalan Amerika di Kuwait menjadi markaz logistik pasukan bersekutu untuk menyerang Iraq. Demikian juga operasi memerangi Isis di Iraq dan Syria.
Pada 2021, Pentagon mengumumkan kewujudan 13,000 tentera Amerika di Kuwait yang diagihkan kepada 4 pangkalan.
Arab Saudi
Selepas Perang Teluk 1991, Amerika mengekalkan 10,000 tenteranya sehingga tahun 2003. Selepas itu hanya 2,700 tentera ditempatkan di Arab Saudi.
Namun pada tahun 2020, Amerika memperkukuhkan kedudukannya di Arab Saudi berikutan ketegangan dengan Iran.
UAE
Negara Arab ini dianggap sekutu rapat Amerika dan sentiasa bersedia memberi kemudahan pangkalan udara dan laut kepada tentera Amerika.
5000 tentera ditempatkan di tiga pangkalan. Satu pangkalan udara dan dua pangkalan laut.
UAE atau negara Imarat sentiasa memberikan perkhidmatan bekalan bahan api untuk pesawat dan kapal-kapal Amerika.
Bahrain
Hubungan ketenteraan Bahrain-Amerika telah terjalin sejak tahun 1948. Bahkan memperbaharui perjanjian pada tahun 1971 dan 1991.
Pada tahun 2022, seramai 9000 orang tentera Amerika ditempatkan di dua pangkalan udara dan satu pangkalan laut Bahrain.
Oman
Oman mengikat perjanjian dengan Amerika Syarikat pada tahun 1980.
600 tentera Amerika bebas menggunakan 24 buah kem tentera Oman.
Syria
Penghujung 2015, Amerika menempatkan kekuatannya di Syria dengan 2,000 tentera dalak misi memerangi ISIS.
Penghujung 2019, bilangannya dikurangkan kepada 900 orang. Mereka ditempatkan di 20 pangkalan seluruh Syria.
Jordan
Jordan termasuk negara Arab yang punya hubungan rapat dengan Amerika.
Amerika membekalkan bantuan kejurulatihan kepada Jordan di samping menempatkan 2800 askarnya untuk memastikan ‘keamanan’ Jordan.
Jordan pula memberikan kebenaran kepada tentera Amerika untuk menggunakan pangkalan udaranya.
Paling menggembirakan Amerika, Jordan turut memberi kebenaran Amerika menggunakan pelabuhan Aqabah. Aqabah adalah kawasan paling strategik di sempadan Jordan, Palestin, Mesir dan Arab Saudi.
Mesir
Pentagon menyatakan tidak ada pangkalan tentera Amerika di Mesir untuk operasi peperangan.
Tetapi seramai 600 orang tentera Amerika ditempatkan bersama pasukan pengaman antarabangsa di Mesir sejak 1981.
Dalam masa yang sama Amerika mendapat kerjasama Mesir untuk perkhidmatan logistik dan pelbagai kemudahan lain di pelabuhan dan pangkalan udara Barat Kaherah.
Turki
Walaupun Turki bukan negara Arab, namun Amerika mengambil berat terhadap isu-isu membabitkan negara itu.
Lebih 1000 orang tentera Amerika ditempatkan dia dia pangkalan udara Turki untuk memastikan keselamatan kepentingan Amerika di rantau ini.
Menjaga kepentingan Israel
Menjelang Perang Gaza 2023, Pentagon mengumumkan Amerika mempunyai kekuatan 30,000 tentera yang ditempatkan di 15 buah negara Arab.
Namun setelah bermulanya Tufan al-Aqsa 7 Oktober 2023, Amerika meningkatkan keupayaannya di rantau ini dengan membekalkan beberapa buah kapal pengangkut pesawat beserta dengan ribuan tentera serta pesawat-pesawat tempurnya.
Antaranya ialah kapal pengangkut pesawat USS Gerald Ford bersama pesawat-pesawatnya serta 5,000 tentera marin. Juga kapal Eisenhower beserta 5,000 tentera dan segala muatannya.
Amerika turut menghantar 900 komandonya dan 2,000 askar lain yang diarah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Sejak 1946, Amerika telah memperuntukkan bantuan ketenteraan kepada Israel bernilai 263 bilion dollar.
Sebagai perbandingan, Israel adalah negara ke 10 terbesar bajet ketenteraan iaitu 4.5 peratus dari bendapatan negara bernilai 23.4 bilion dolar pada tahun 2022.
Ia adalah bagi membiayai keperluan pasukan tenteranya yang berjumlah 169,500 orang. Israel turut memiliki pasukan tentera sukarela dan kerahan seramai 465,000 orang.
Setiap warga Israel diwajibkan menjalani khidmat kerahan ketenteraan selama 36 bulan bagi orang lelaki dan 24 bulan orang perempuan.
Israel juga memiliki 2,200 kereta kebal, 539 unit Meriam pelbagai jenis, 196 buah pesawat F16, 83 buah F15, 30 buah F35 dan 142 buah helikopter pelbagai jenis.
Israel juga memiliki 5 buah kapal selam dan 49 buah kapal tentera.
Israel mengimport senjata dari Amerika Syarikat dan Jerman bernilai 2.7 bilion dollar (2018-2022). 75 peratus adalah dari Amerika.
Dalam masa yang sama Israel juga mengeluarkan senjatanya sendiri dan mengeksport ke 35 buah negara bernilai 3.2 bilion dolar.
Negara paling utama mengimport senjata dari Israel ialah India, Azerbaijan, Filipina, Amerika, Vietnam dan lain-lain.
USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 26/1/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.









