aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan mengatur pertemuan dengan beberapa pemain badminton profesional negara bagi membincangkan hala tuju dan keperluan berhubung program Road To Gold (RTG) ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Antaranya adalah pertemuan membabitkan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia yang dijangka akan berlangsung selepas Tahun Baru Cina ini.
Hannah berkata, perjumpaan itu menjurus mengenai khidmat sokongan boleh ditawarkan bagi membantu pemain profesional negara bukan hanya Zii Jia, malah kepada beregu nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Beliau berkata, pada ketika ini pemain profesional mempamerkan prestasi cukup baik terutama Sze Fei-Izzuddin yang baru sahaja memenangi kejohanan Terbuka India di New Delhi, minggu lalu.
“Ada beberapa atlet nak berjumpa dengan saya tetapi masih belum dapat tarikh yang sesuai.
“Antaranya adalah (Datuk) Azizulhasni Awang, Zii Jia serta Sze Fei-Izzuddin dan ia akan diuruskan selepas Tahun Baru Cina.
“Zii Jia memang tidak ada dalam RTG, tetapi ini untuk LA28. Kita nak bincang kerana ramai pemain profesional menunjukkan prestasi cukup baik pada ketika ini.
“Perjumpaan itu akan membincangkan mengenai kemungkinan kolaborasi dengan RTG dan bagaimana RTG boleh beri sokongan kepada pemain profesional yang layak,” katanya selepas Sesi Penyerahan Projek Naik Taraf Kemudahan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Segambut, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabran Abd Bahar serta Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Puteri Khairul Fathiah Fahimudin.
Sebagai rekod, Izzuddin-Sze Fei tidak berada dalam program RTG sebelum ini susulan tidak layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 manakala Zii Jia memilih untuk menolak tawaran yang dibuat.
Dalam perkembangan sama, Hannah memaklumkan, pihaknya akan melakukan rombakan dalam jawatankuasa RTG selain sudah menyusun beberapa sukan yang berlaku perubahan dari segi kedudukan ranking 10 teratas.
“Ada perubahan (jawatankuasa RTG) dan akan diumumkan Februari nanti selepas Tahun Baru Cina, selepas itu saya akan ada jawatankuasa baharu. “Kita sudah menyusun sukan yang ada perubahan dalam (ranking) 10 teratas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd