MINSK: Presiden Belarus, Alexander Lukashenko memenangi Pilihan Raya Presiden buat penggal ketujuh berturut-turut sejak penubuhan negara itu pada 1994.
Menurut data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu, Lukashenko memperoleh sebanyak 86.8 peratus undi pada pilihan raya yang berlangsung semalam.
“Anda boleh mengucapkan tahniah kepada Republik Belarus, kita telah memilih seorang presiden,” kata ketua suruhanjaya itu, Igor Karpenko kepada pihak media.
Sementara itu, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Eropah (EU) tidak mengiktiraf kerajaan Lukashenko sebagai sah, dengan memanggil keputusan pilihan raya itu sebagai ‘palsu’.
“Lukashenko telah berpaut kepada kuasa selama 30 tahun. Kini, dia akan melantik semula dirinya dalam satu lagi pilihan raya palsu.
“Ini adalah penghinaan yang terang-terangan terhadap demokrasi. Lukashenko tidak mempunyai sebarang kesahihan,” ujar Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas.
Reaksi orang ramai terhadap keputusan itu dilaporkan telah disembunyi dan ‘disenyapkan’ oleh kerajaan, jauh berbeza berbanding 2020 apabila beribu-ribu orang turun ke jalanan sebagai protes terhadap pemerintahan Lukashenko.
Lebih setengah juta rakyat telah meninggalkan negara itu sejak kemenangan terakhir Lukashenko dalam pilihan raya 2020. – AGENSI