syafil.syazwan@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pelawak, Mamat dan Shuib Sepah meluahkan rasa syukur apabila diberi rezeki untuk menunaikan umrah bersama agensi umrah dan pelancongan, Nur Travel & Tours Sdn Bhd selepas kedua-dua mereka menarik diri daripada bersama agensi umrah sebelum ini.
Shuib ketika ditemui di sidang media menandatangani kontrak bersama agensi terbabit berkata, impiannya untuk membawa dan menunaikan umrah bersama sahabatnya, akhirnya tercapai.
“Memang saya ada niat nak bawa Mamat menunaikan umrah dengan agensi pelancongan sebelum ini, tapi, ada sedikit masalah. Namun saya tak mahu panjangkan lagi.
“Alhamdulillah, kami ada keinginan dan Alhamdulillah, dipertemukan dengan Nuh Travel dan dapat juga bawa Mamat, DJ Khai dan keluarga.
“Terima kasih kepada Nuh Travel kerana percaya dan yakin untuk bawa kami ke Tanah Suci. Harapnya, kali ini dapat pergi dengan baik selepas Aidilfitri,” katanya kepada Harian Metro.
Mamat yang turut hadir ke sidang media itu berkata, rezeki ini datang dengan pantas atas rasa prihatin sahabat-sahabatnya antaranya, DJ Khai.
“Kami ucapkan terima kasih kepada Khai. Dalam saat kami bersedih, dia hubungi dan bertanya kenapa. Dia minta masa 10 minit dan maklumkan, kami dapat pergi (umrah) pada Aidilfitri akan datang.
“Selepas keluar video kami di Instagram, ramai yang menghubungi kami termasuklah Nuh Travel & Tours Sdn Bhd ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Nuh Travel & Tours Sdn Bhd, Adam Jalal berkata, pihaknya akan memberikan perkhidmatan terbaik kerana ini adalah amanah yang perlu mereka pegang sebagai agensi umrah dan pelancongan.
“Dengan kepercayaan yang diberikan, kami cuba bawakan amanah ini dengan terbaik. Kami bukan hanya akan membawa mereka menunaikan umrah, tetapi juga ke Dubai dan kami berkolaborasi dengan Dubai Tourism dan Emirates. Jadi, ada dua entiti yang kuat dan sokong perjalanan ini.
“Kami secara rendah diri, akan cuba jalankan amanah ini untuk mereka dapat menunaikan ibadah dengan lebih tenang dan yang penting dapat sampai ke rumah Allah. Itu objektif utama kami.” katanya.
Terdahulu, Shuib dan Mamat memuat naik video mengenai penarikan diri daripada menunaikan umrah bersama agensi sebelum ini di Instagram.
Penarikan diri itu dibuat selepas muncul pelbagai masalah yang diluahkan oleh orang awam yang pernah menjadi mangsa penipuan sebuah agensi umrah dan pelancongan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
