Berlin: Pengurus Bayer Leverkusen, Xabi Alonso, mengesahkan penyerang Victor Boniface sedang berbincang untuk meninggalkan kelab dalam jendela perpindahan semasa.
Sky Jerman melaporkan pemain berusia 24 tahun itu dijangka menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr, di mana dia akan bergandingan dengan Cristiano Ronaldo.
Perpindahan ini dilaporkan bernilai lebih daripada €50 juta (RM228 juta).
Boniface menyertai Leverkusen dari kelab Belgium, Union Saint Gilloise, 18 bulan lalu dengan nilai €20 juta (RM91 juta).
Setakat ini, pemain Nigeria itu menjaringkan 29 gol dan memberikan 11 bantuan jaringan dalam 49 perlawanan bersama kelab berkenaan.
Bagaimanapun, dia belum bermain sejak mengalami kecederaan hamstring ketika tugas antarabangsa pada November lalu.
Boniface turut tidak menghadiri sesi latihan menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Sparta Prague Khamis ini.
“Ada perbincangan dengan kelab dan kami perlu menunggu. Kami sedang membuat persiapan tanpa Boni,” kata Alonso kepada wartawan.
“Kita akan lihat. Kami perlu tunggu sedikit lagi tetapi fokus kami adalah kepada skuad yang sedia ada, yang kini berada dalam keadaan baik dan cergas.
“Ia adalah perlawanan terakhir Liga Juara-Juara dan itulah keutamaan kami.”
Alonso turut mendedahkan bahawa Leverkusen semakin hampir mendapatkan beberapa pemain baharu dalam jendela perpindahan musim sejuk ini.
“Saya sangat berpuas hati dengan skuad kami dan kualiti yang ada… dan akan terus berpuas hati apabila jendela perpindahan ini berakhir,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




