redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kajang: Bukan sekejap namun 15 tahun pasangan Shahrizal Ahmad dan isteri, Anis Syuhada Azmi Najib menanti detik bergelar ibu bapa.
Doa mereka akhirnya termakbul selepas dikurniakan cahaya mata sulung, Muhammad Ariq Rizqi Shahrizal yang dilahirkan jam 11.16 pagi kelmarin (27 Januari).
Lebih manis lagi, Shahrizal dan Anis Syuhada menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka itu pada hari umat Islam meraikan sambutan Israk Mikraj.
Berkongsi kisahnya, Anis Syuhada, 36, berkata, dia seperti tidak percaya akhirnya dapat bergelar seorang ibu selepas lebih sedekad menjadi pejuang pasangan cuba hamil (TTC).
Ia kerana pelbagai ikhtiar dilakukan untuk mendapatkan zuriat termasuk dua kali rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dekat sebuah pusat rawatan iaitu Hospital Alhaya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
“Selama ini dapat jaga anak saudara saja tapi kini sudah ada anak sendiri.
“Memang pernah rasa ‘down’ sebelum ini kerana bila balik kampung beraya atau pergi kenduri kahwin, orang akan tanya bila nak dapat anak.
“Pernah satu masa bila saya dapat pencapaian sesuatu, orang kata tak ada maknanya kerana tiada anak dan sebab itu saya dengan suami terus berusaha walaupun pernah kecewa waktu tak berjaya dapatkan zuriat selepas IVF pertama ,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Anis Syuhada berkata, dia dan suami sebelum ini hanya berusaha serta berdoa kemudian berserah kepada Allah SWT untuk menentukan segalanya.
“Sebagai manusia, kita hanya boleh merancang dan berusaha tapi rezeki daripada Allah SWT.
“Kalau nak bagi, selambat mana pun Allah SWT akan beri, syukur ada rezeki saya dengan suami jadi segala puji bagi-Nya. Saya beruntung kerana ada suami yang faham malah ibarat doktor saya.
“Jadi buat pejuang TTC lain, jangan putus asa, terus berikhtiar dan bersangka baik dengan Allah SWT kerana kita diuji sebab kita mampu. Buat lelaki pula, jangan salahkan perempuan saja jika tak dapat zuriat,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Shahrizal, 46, perasaan gembira, sedih dan gementar bercampur baur selepas dikurniakan cahaya mata kerana sudah lama menunggu detik bergelar bapa.
Katanya, bukan hanya masa malah banyak wang dibelanjakan untuk mencuba pelbagai rawatan moden dan tradisional, jadi menganggap pelaburannya itu berbaloi.
“Macam-macam cara saya dan isteri cuba untuk dapatkan anak termasuk berurut dengan paling jauh pergi ke Baling, Kedah.
“Walaupun berusaha, ada juga memperlekehkan kami dan selalu juga dengar suara sumbang mempersoalkan kenapa tak ada anak terutama setiap kali hari raya.
“Walaupun hati panas mendengarnya, saya hadap dan telan saja kata-kata itu,” katanya.
Katanya, kesempatan menjejakkan kaki di Tanah Suci dua tahun lalu digunakan untuk berdoa di depan kaabah.
“Waktu itu memang saya minta dapat zuriat dan semua yang terbaik dalam hidup.
“Cuma masa doa depan Kaabah itu, ada pengalaman tak dapat lupa apabila seorang lelaki Arab yang duduk di kerusi roda pegang bayi kemudian hulur kepada saya (bayi).
“Beberapa bulan selepas balik menunaikan haji, saya dapat berita isteri hamil dan syukur kerana bayi pun sudah selamat dilahirkan walaupun susah juga nak tidur malam waktu perut isteri semakin membesar sebelum ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




