Wira tanpa seragam bantu bomba Terengganu

Wira tanpa seragam bantu bomba Terengganu

Kuala Terengganu: Bukan semua wira memakai pakaian seragam.

Walaupun tiada latihan formal dalam kerja menyelamat, bekas kontraktor, Mazlan Mamat, 62, sanggup berkorban masa, tenaga dan harta bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR).

Memiliki dua jet ski, Mazlan antaranya terbabit dalam kerja mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Batu Buruk, di sini, Februari 2024 bersama anak lelakinya.

Menurut Mazlan, jenteranya itu sentiasa berada dalam mod tunggu sedia bagi membantu SAR sekiranya diperlukan, selain digunakannya untuk aktiviti sukan air.

“Pertama, saya minat laut. Kedua, saya anggap ini amal jariah dan ketiga, saya ada jet ski. Kerana itu saya terpanggil untuk buat perkara ini,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Atas jasanya itu, JBPM Terengganu menganugerahi Mazlan dan lapan lagi individu di negeri itu dengan sijil penghargaan sempena Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Terengganu 2025, baru-baru ini.

Bagi Abdul Talib Hitam, 54, setiap kali banjir berlaku, dia akan menyerahkan satu daripada dua bot fiber miliknya kepada Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Dungun untuk kerja pemindahan mangsa banjir di sekitar kampungnya iaitu Kampung Nyior ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kalau sebelum ini, saya pun akan turut serta bantu, tetapi sejak banjir November tahun lalu, saya tidak dapat turun membantu secara fizikal kerana masalah kesihatan disebabkan kencing manis, masalah saraf dan penglihatan yang kabur,” katanya yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Dalam pada itu, pekerja ladang, Mohd Azwan Mohd Ghazali, 35, menggunakan jentera pengorek miliknya bagi membantu JBPM memadam kebakaran tanah gambut di Kampung Tok Kah, Dungun, 2024.

Walaupun bimbang kerana berdepan api marak, namun Mohd Azwan berkata, tiada kata dapat menggambarkan kepuasannya apabila berjaya membuka laluan untuk jentera bomba masuk ke kawasan kebakaran menggunakan jentera miliknya itu.

“Saya buka jalan sepanjang kira-kira dua kilometer untuk mudahkan akses bomba sepanjang kira-kira sebulan kebakaran. Selain itu, saya juga gali parit di ladang untuk bekalkan air kepada petugas ketika kerja pemadaman api.

“Saya bantu kerana jika dibiarkan, ia mungkin boleh merebak ke rumah penduduk,” katanya.-Bernama

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top