harisfadli@hmetro.com.my
Serdang: Tiga lelaki dan wanita yang miliki 21 rekod kesalahan lampau ditahan, disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah termasuk ragut rantai emas di Taman Mawar, Puchong, 3 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, mereka ditahan di Petaling Jaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang daripada bercuti.
Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan Respon Tim Balai Kinrara melancarkan operasi mengesan suspek selepas menerima laporan mangsa yang diragut oleh lelaki menunggang motosikal merah.
“Operasi bermula 16 hingga 18 Januari lalu dengan kesemua suspek berusia lingkungan 31 hingga 55 tahun.
“Suspek pertama ditahan di Petaling Jaya, manakala suspek kedua yang juga suspek utama ditahan bersama suspek ketiga dan keempat di KLIA.
“Semua mereka direman sehingga 3 Februari untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anbalagan berkata, penahanan suspek menyelesaikan 11 kes samun dan ragut di Serdang, Petaling Jaya dan Subang Jaya yang membabitkan kerugian sekitar RM40,000.
Menurutnya, tiga daripada suspek mempunyai 21 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik, manakala ujian saringan air kencing juga menunjukkan tiga orang positif dadah.
“Dalam kes ini, sebuah motosikal, helmet dan pakaian dipercayai digunakan semasa jenayah samun dirampas. Turut dirampas telefon bimbit, jam tangan, rantai serta cincin dipercayai emas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




