Kuala Lumpur: Solat lima waktu secara berjemaah dan membaca al-Quran adalah rutin wajib yang dijalani penyanyi Mamat selepas enam bulan melalui fasa pertama di bawah pengawasan untuk rawatan dan pemulihan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Kompleks Pengasih Cinta Manis, Bentong, Pahang.
Menurut bekas vokalis kumpulan Exists itu, pusat terbabit sentiasa menekankan aspek sahsiah diri serta kerohanian.
“Setiap hari kami akan bangun sebelum waktu subuh untuk mandi sebelum mendirikan solat subuh berjemaah.
“Di sana saya adalah salah seorang koordinator dan akan menguruskan setiap aktiviti yang akan dilakukan penghuni lain.
“Antara aktiviti yang kami jalankan ialah solat lima waktu berjemaah selain menghadiri kelas mengaji al-Quran,” katanya.
Mamat berkongsi pengalaman peribadinya dalam satu perkongsian bersama Dol’s Podcast kendalian Shuib, Mamat Sepah dan Fizie Roslan.
Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 48, berkata, langkah terbaik untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih baik adalah melalui pusat itu.
“Apabila saya sampai di Pengasih, sambutan dan layanan yang diberikan kepada saya sangat baik sekali gus membuatkan kita semua hormat satu sama lain dan sentiasa ada sebagai satu keluarga.
“Disebabkan itu juga membuatkan saya bertambah bersemangat mahu berubah selain enggan lagi berputus asa,” katanya.
Sebelum ini, Mamat dikenakan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor atas dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019.
Di Mahkamah Sesyen, Mamat dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hakim turut memerintahkan bapa tiga anak itu menjalani dua tahun pengawasan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang bagi rawatan dan pemulihan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




