Penang FC optimis tewaskan Selangor FC

Penang FC optimis tewaskan Selangor FC

sukan@hmtero.com.my

Kuala Lumpur: Penang FC melihat peluang untuk mencatatkan kemenangan ke atas Selangor FC pada saingan separuh akhir kedua Piala Cabaran 2024-2025 masih terbuka meskipun perlu beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad ini.

Pengendali Harimau Kumbang, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, beliau menyedari tentangan sengit bakal dihadapi oleh anak buahnya namun dirinya yakin dengan keupayaan pemain yang sedia ada untuk turun mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan itu.

“Kita jangka persaingan lebih sengit ketika bertandang ke tempat lawan. Tetapi persiapan kita selepas perlawanan tempoh hari (Liga Super), agak baik.

“Ketinggalan 0-1 sebenarnya tak jauh. Tetapi memang kita akui, bukan calang-calang cabaran. Jadi saya harap pemain saya dapat mengatasi segala rintangan dalam perlawanan ini,” katanya.

Selain itu, Wan Rohaimi akan mengambil pendekatan corak permainan menyerang untuk menekan dan cuba mendapatkan jaringan awal bagi menghidupkan peluang ke pentas final itu lebih terbuka.

“Untuk kita bermain dengan cara bermain bertahan, saya rasa tidak sesuai. Sebab kita ketinggalan 0-1. Jadi kita kena menekan dari awal untuk sekurang-kurangnya kita dapat memadam kelebihan (Selangor FC) dari awal. Itu adalah rancangan kita,” katanya.

Untuk perlawanan ini, Selangor FC dilihat mempunyai sedikit kelebihan apabila beraksi di halaman sendiri yang dilihat sering kali menghasilkan keputusan positif buat mereka.

Namun begitu, anak buah Katsuhito Kinoshi tetap perlu waspada kerana dalam pertemuaan terakhir dalam saingan Liga Super, mereka diikat 1-1 ketika beraksi di Stadium Bandaraya pada 25 Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top