Vaksin Coronavac 80 peratus berkesan cegah kematian

Vaksin Coronavac 80 peratus berkesan cegah kematian

SANTIAGO: Vaksin Coronavac buatan China berkesan sehingga 67 peratus untuk mencegah kes COVID-19 tanpa simpom dan 80 peratus bagi mengelak kematian.

Hasil kajian itu dikeluarkan menerusi bukti data kempen inokulasi di Chile, semalam.

Menteri Kesihatan, Enrique Paris, berkata data sepanjang Februari dan Mac lalu ketika Chile melaksanakan program vaksinasi itu seharusnya menenangkan semua negara.

Data itu diperoleh hasil diambil daripada perbandingan antara mereka yang sudah divaksin sepenuhnya, divaksin dengan hanya satu dose dan tidak divaksin, membabitkan jumlah keseluruhannya sebanyak 10.5 juta sampel.

Malah, kajian juga menunjukkan pemberian vaksin 85 peratus berkesan dalam menghalang rawatan di hospital akibat simptom serius dan 89 peratus mencegah kemasukan ke rawatan rapi.

Chile ketika ini mahu menyuntik vaksin sebanyak 80 peratus atau 15.2 juta penduduk negara itu dan ia dilihat paling ke hadapan di Amerika Latin, malah kempen inokulasinya antara yang paling pesat berkembang di dunia.

Jumaat lalu, Chile berjaya memberikan sekurang-kurang satu dos vaksin kepada 7.6 juta rakyatnya dan kedua-dua dos pula kepada lima juta penduduk iaitu satu pertiga penduduk yang disasarkan di negara itu.

Kempen vaksinasi Chile bermula pada sambutan Krismas lalu, didahului dengan petugas kesihatan, disusuli golongan berusia.

Vaksin Coronavac dihasilkan firma China, Sinovac dan mendominasi 86.9 peratus kempen vaksinasi di Chile dan selebihnya akan diberikan suntikan Pfizer/BioNtech. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top