KAHERAH/BAITUL MAQDIS/RAMALLAH: Pemimpin Briged Syahid Al-Aqsa, Zakaria Zubeidi adalah antara tahanan Palestin paling terkemuka yang dibebaskan melalui perjanjian berperingkat antara Hamas dan Israel bagi menghentikan perang selama lebih 15 bulan di Gaza.
Zakaria melarikan diri dari penjara Israel pada 2021 bersama tiga tahanan lain, tetapi kemudian ditangkap semula.
Beliau sentiasa dikenali sebagai `orang kuat’ di bandar Jenin, Tebing Barat, kubu penentangan Palestin terhadap pendudukan Israel. Namun Jenin juga sering menjadi sasaran serbuan tentera Israel, termasuk operasi besar hanya seminggu lalu.
“Syukur kepada Tuhan yang memberkati saya dengan pembebasan hari ini. Semoga roh para syuhada Gaza berehat dengan aman,” kata Zubaidi kepada orang ramai yang bergembira berkumpul untuk menyambutnya di Ramallah, semalam.
Ditanya mengenai laporan Israel tidak membenarkannya pulang ke kem pelarian Jenin, Zubaidi menjawab, “Naga adalah pemilik tanah dan pemburu mesti pergi”.
Dia dikenali di Jenin sebagai naga.
Dalam perkembangan terbaru, Hamas membebaskan tiga tahanan Israel dan lima Thailand di Gaza, manakala Israel membebaskan 110 tahanan Palestin selepas rejim Zionis menangguhkan proses itu kerana marah terhadap penduduk Palestin yang berkerumun di tempat penyerahan tahanan.
Rakyat Israel, Arbel Yehoud, 29, dikatakan bergelut apabila melalui orang ramai ketika Hamas menyerahkannya kepada Palang Merah di selatan. bandar Khan Younis. Seorang lagi tebusan Israel, Gadi Moses, 80, turut dibebaskan bersama lima warga Thailand yang bekerja di ladang Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata melihat huru-hara ketika majlis penyerahan mengejutkan dan dengan sombong mengancam sesiapa yang mencederakan tebusan akan menghadapi kematian.
Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Katz berkata, mereka mengarahkan penangguhan dalam pembebasan tahanan Palestin sehingga rakyat Israel yang ditahan dibebaskan dengan selamat.
Semalam, bas tiba di bandar Ramallah, Tebing Barat membawa sebahagian daripada 110 tahanan Palestin untuk dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian berperingkat yang menghentikan perang selama lebih 15 bulan di wilayah pantai pada 19 Januari.
Tahanan disambut oleh orang ramai yang bersorak di wilayah Palestin yang diduduki Israel, dengan lelaki melaungkan “kami mengorbankan jiwa dan darah kami untuk kamu.” – REUTERS








