Seorang tukang rumah dipenjara lima bulan dan denda RM2,000 selepas mengugut bunuh pelakon dan pelawak, Harith Iskander dan keluarganya, awal bulan ini.
Memetik laporan Berita Harian, Majistret S Mageswary menjatuhkan hukuman tersebut selepas pelaku, Izzuddin Md Salim, 30, mengaku bersalah.
Mahkamah Majistret telah memerintahkan hukuman penjara itu bermula pada 24 Januari (tarikh tertuduh ditangkap), dan dan boleh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
“Saya berniat mainkan perasaan Harith Iskander sahaja, saya tiada maksud lain… saya minta maaf kepada keluarga mangsa,” rayu si pelaku.
Difahamkan, individu itu didakwa telah menghantar WhatsApp kepada bekas isteri dan pengurus selebriti itu, Jezamine mengandungi ugutan mengatakan tertuduh akan melakukan jenayah rogol dan bunuh.
Terdahulu, Jezamine mendedahkan punca Harith membatalkan persembahan komedi berdiri DFP Punchline: Harith Iskander 35 Year Of Laughter.
Pada 20 Januari, selebriti Shahrol Azizie Azmi, atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro, telah membuat laporan polis berkaitan hantaran media sosial Harith. Dalam laporan yang turut dikongsi di Facebook, Shahrol turut membuat aduan terhadap seorang individu bernama Cecelia Yap Song KL, mendakwa bahawa hantaran dan komen tersebut menghina Islam serta mempermainkan nama Nabi Muhammad.
Kontroversi ini bermula apabila Harith, dalam satu hantaran di Facebook, secara berseloroh menyatakan ‘iman tergugat’ kerana mempertimbangkan untuk mencuba ‘Ham Sap Kopi’. Kenyataan itu dibuat di tengah isu sandwich ‘ham & cheese’ yang didakwa tidak mempunyai sijil halal dan dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya.
Artikel Berkaitan: Shahrol Shiro Buat Laporan Polis Ke Atas Harith Iskander, Didakwa Persendakan Agama – “Sangat Biadap!”
Sumber: Berita Harian




