Nafi Terbabit Salah Laku Projek DBKL, Afdlin Shauki Dakwa Ada Pihak Sengaja Nak Burukkan Nama

Nafi Terbabit Salah Laku Projek DBKL, Afdlin Shauki Dakwa Ada Pihak Sengaja Nak Burukkan Nama

Pelakon dan pengarah, DatuK Afdlin Shauki menafikan sekerasnya dakwaan terbabit dalam salah laku perolehan projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menerusi sebuah entri di Instagram (IG) miliknya, Afdlin mendakwa ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja memburukkan namanya dalam hantaran tular di plaform telegram itu.

“Baru-baru ini, tular hantaran dalam Telegram yang cuba mengaitkan saya dengan tuduhan salah laku dalam perolehan satu projek di bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Pertama sekali, saya menafikan sekeras-kerasnya terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek ini.

“Untuk perhatian saudara saudari sekalian, ini adalah usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam tidak bertempat,” tulisnya.

Susulan itu, aktor filem Papadom ini menjelaskan pihaknya sudah mengambil tindakan dengan membuat laporan polis terhadap tuduhan tersebut.

“Saya juga sudah membuat laporan polis, hari ini untuk membolehkan siasatan dijalankan dan perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL.

“Saya bersedia memberi kerjasama penuh dalam siasatan dijalankan berhubung isu ini oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.

“Saya yakin dan pasti dengan izin Allah akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan,” katanya.

Semalam, media melaporkan bahawa DBKL telah memulakan siasatan dalaman berkaitan dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, mengesahkan siasatan tersebut dan menyatakan bahawa DBKL sedang bekerjasama rapat dengan unit integritinya.

Dakwaan salah laku melibatkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial pada hari yang sama.

Kes tersebut berkaitan dengan pelanggaran prosedur tadbir urus dalam perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak melalui proses tender terbuka.

Scroll to Top