am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Keadaan Adib masih tak banyak berubah. Paling membimbangkan ialah dia tiba-tiba boleh lemah dan kritikal,” Tuan Nur Athirah Tuan Mahyuddin, 34 mengenai keadaan kesihatan bayinya, Muhammad Adib Fayyadh Mohd Amir Faisal atau panggilannya Adib.
Bayi yang mengalami kecederaan saraf itu kini bergantung kepada rawatan sepenuhnya termasuk beberapa pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya.
Tuan Nur Athirah berkata, selepas menjalani empat pembedahan termasuk tulang untuk membuang sedikit kelenjar di celah tulang pinggul, sunat serta scoop untuk saluran kencing, bayinya itu kini sedang menunggu tarikh untuk pembudahan tulang.
“Boleh dikatakan kesihatan anak sangat tidak memuaskan, sehingga dia mengalami penurunan berat badan yang tidak normal.
“Anak juga tidak kerap minum susu sepanjang tujuh hari selepas kelahirannya dan menyebabkan penurunan berat badan dari 3.4 kilogram (kg) kepada 2.6kg,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan terpaksa ‘berumah’ di hospital akibat masalah saraf, tulang dan jangkitan kuman.
Adib dilahirkan dalam keadaan lemah dengan kedua-dua tangannya tidak bergerak akibat kecederaan saraf semasa proses bersalin.
Tuan Nur Athirah berkata, dia mengharapkan orang ramai mendoakan yang terbaik buat Adib terutama ketika mengharungi fasa-fasa kritikal.
“Saya dan suami memberi tumpuan sepenuhnya kepada Adib. Bila-bila masa saja dia boleh lemah dan kritikal,” katanya.
Orang ramai yang ingin meringankan beban ditanggung keluarga ini boleh menyumbang menerusi akaun BSN (1415441100021211) atas nama Tuan Nur Athirah Tuan Mahyuddin serta
akaun CIMB Mohd Amir Faisal Che Daud (7611212403).
© New Straits Times Press (M) Bhd




