Cadang Pengerusi Veteran Umno jadi AJK Bahagian

Cadang Pengerusi Veteran Umno jadi AJK Bahagian

am@hmetro.com.my

Pontian: Umno Bahagian di seluruh negara dicadang melantik Pengerusi Veteran parti itu di kawasan masing-masing, sebagai ahli jawatankuasa bahagian.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata langkah itu sebagai mengiktiraf sumbangan veteran yang bukan sahaja terus setia malah masih mampu memberi sumbangan bermakna pada parti.

Katanya, langkah itu juga sejajar dengan pelantikan Pengerusi Veteran Umno Malaysia, Datuk Osman Desa sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, akhir tahun lalu.

“Jasa ahli-ahli Veteran Umno perlu diiktiraf kerana mereka turut sama gigih membantu melancarkan gerak kerja kempen pada setiap kali pilihan raya diadakan.

“Kesetiaan mereka (veteran) kepada Umno juga terbukti kerana mereka terus setia memberikan sokongan kepada kepimpinan yang ada pada hari ini tanpa berbelah bahagi,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Umno Bahagian Pontian di Dewan Serbaguna Benut, di sini, hari ini.

Pada 25 November lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan mengumumkan pelantikan Othman sebagai ahli MKT terbaru parti itu.

Ia sebagai satu penghargaan dan pengiktirafan terhadap Veteran Umno Malaysia yang memainkan peranan penting dalam mempertahan dan memperkukuhkan parti selama ini.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Umno Johor memaklumkan beliau akan menulis surat kepada MKT UMNO supaya cadangan ini mendapat perhatian dari Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pelantikan Pengerusi Veteren Umno di setiap bahagian sebagai ahli jawatankuasa Umno bahagian akan memudahkan lagi penyampaian maklumat kepada ahli-ahli Veteran Umno di kawasan masing-masing.

“Veteran Umno juga mempunyai organisasi yang lengkap dari Bahagian, Negeri dan Pusat, sekali gus memudahkan mereka menyusun agenda bagi membantu parti sepanjang masa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top