Mangsa serangan beruang stabil, selesai jalani pembedahan

Mangsa serangan beruang stabil, selesai jalani pembedahan

am@hmetro.com.my

Dungun: Mangsa serangan beruang di ladang sawit Kampung Telembuh, Jerangau Sungai, pagi kelmarin, selamat menjalani pembedahan pagi tadi.

Nik Azhar Daud, 40, selesai menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (HSNZ) jam 3.40 pagi.

Isteri mangsa, Roshuhaida Mokhtar, 39, berkata suaminya itu kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan itu.

“Syukur suami selamat menjalani pembedahan di bahagian belakang leher tangan dan kaki.

“Doktor juga mencuci semua luka kesan gigitan dan menjahit semua bahagian luka terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Roshuhaida berkata, bahagian belakang leher suaminya itu mengalami kecederaan paling teruk.

“Saya tidak tahu berapa banyak jahitan yang dilakukan pada tempat luka dan suami kelihatan masih trauma dengan kejadian itu.

“Dia boleh tidur lena. Tetapi suami beritahu dia sukar melupakan insiden serangan itu dan tidak mahu lagi masuk ke dalam kawasan hutan,” katanya.

Katanya, dia berharap suaminya segera sembuh dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhan Nik Azhar.

Dalam kejadian kelmarin, Nik Azhar yang sedang berehat ketika memeriksa kerbau ternakannya di ladang terbabit diserang beruang yang datang dari arah belakang menyebabkan mangsa cedera parah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top