am@hmetro.com.my
Ipoh: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarahkan menyiasat dakwaan mengenai seorang khatib di Parit Buntar yang tidak membaca teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh jabatan itu sewaktu sesi solat Jumaat, semalam.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan yang akan diambil terhadap pembaca khutbah berkenaan yang dikatakan membaca teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP), bergantung kepada hasil siasatan yang dilakukan.
“Kalau ada mana-mana masjid atau khatib yang membaca khutbah di luar daripada (teks) khutbah yang sediakan, ‘there might be something wrong somewhere’ (mesti ada yang tak kena), dan saya percaya JAIPk akan menyiasat.
“Bergantunglah kepada hasil siasatan itu betul atau tidak…. Kita kena rujuk balik kepada peraturan yang dikeluarkan oleh JAIPk… Jika ada halangan (membaca teks khutbah Jumaat bukan dikeluarkan oleh JAIPk),” katanya.
Saarani yang juga memegang portfolio Exco Agama Islam negeri berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pemerkasaan Masyarakat MADANI Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) peringkat negeri Perak 2025 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun
Terdahulu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim memuatnaik hantaran di Facebook (FB) mengenai seorang khatib di Parit Buntar, Perak membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan pihak JAIPP.
Teks Khutbah Jumaat di Perak yang dikeluarkan JAIPk untuk dibacakan di semua masjid adalah bertajuk “Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki” yang menyenaraikan lima pengajaran daripada peristiwa al-Ifki antaranya keburukan fitnah dan pentingnya menyelidiki maklumat yang diterima serta sabar dan tawakal ketika menghadapi fitnah.
Dalam pada itu Saarani berkata, mesej yang disampaikan menerusi khutbah itu terlalu umum dengan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak, selain menambahkan setiap teks khutbah Jumaat tidak dikeluarkan secara ‘ad hoc’ atau mengejut di saat itu.
“Di bawah JAIPk ada unit membuat karangan bagi khutbah Jumaat, dan khutbah Jumaat ini bukan dibuat secara ‘ad hoc’, (sebaliknya). dibuat sebulan atau dua bulan lebih awal . Ia biasanya dibuat berasaskan kepada peristiwa-peristiwa penting bagi bulan atau minggu itu.
“Ini pun bukanlah kali pertama kita dengar khutbah bab fitnah (sebaliknya) banyak kali kita dengar kan?.. Jadi tak adalah (ditujukan), kecuali kalau ada orang yang makan cili dia rasa pedas,” katanya.
Teks khutbah Jumaat di Perak bertarikh 31 Januari (semalam) mencetuskan polemik apabila JAIPk sebelum ini menerusi hantaran FB menafikan dakwaan kononnya khutbah itu ada kena mengena atau ditujukan untuk menyinggung mana-mana individu tertentu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




