mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Itu baru namanya kawan. Sebab kawan ini waktu senang dia boleh dengan kita, masa susah pun boleh bersama kita. Kalau kita tengah susah, dia doakan kita,” kata pelawak, Shahmira Muhamad atau Shuib.
Shuib berkata demikian ketika mengulas impian Mamat Sepah yang mahu mendoakan agar kesulitan yang dihadapinya dipermudahkan semasa berada di Makkah pada Aidilfitri ketiga nanti.
Menurutnya, dia tidak terfikir pun Mamat boleh bercakap sebegitu, iaitu pergi Makkah untuk mendoakan dirinya.
“Dia sekarang antara orang yang paling rapat. Kami ada banyak projek lagi pada masa hadapan antaranya nak keluar drama dan single.
“Projek raya atau projek-projek lain kita dah ada banyak perancangan untuk tahun ini dan berikutnya. Apabila banyak bersama saya dia tahu keadaan saya macam mana.
“Maksudnya bila dia ambil tahu dan bila dia ada tergerak hati nak doakan saya di Makkah itu alhamdulillah sebab doa seorang kawan pun Insya Allah, moga Tuhan kabulkan. Semoga Allah angkat,” katanya kepada Harian Metro.
Shuib mengakui kesulitan yang dihadapinya adalah berbentuk hutang perniagaan.
“Saya ada hutang syarikat, hutang berniaga lah, hutang dengan badan-badan kerajaan contohnya Kastam, Perkeso, cukai, SST dan benda yang membabitkan perniagaan.
“Ia bukan disengajakan dan itulah risiko bila kita berniaga. Kalau berniaga kecil-kecil, tak pening sangat. Bila pergi kepada berniaga yang besar-besar memang ada cabarannya.
“Jualan pun dah pergi berjuta-juta jadi risikonya pun macam itulah. Tak ada mahunya niaga juta-juta, risikonya kecil. Kata orang besar periuk besarlah keraknya,” katanya.
Shuib berkata, jika tersalah pengurusan atau tersalah penjenamaan risikonya memang begitu.
“Tapi saya okey sahaja kerana seorang ahli perniagaan nampak benda ini sebagai normal. Selagi mana kita tak berhenti saya yakin.
“Saya pegang satu sahaja, dalam apapun yang kita buat, jika kita tak berhenti, maksudnya kita belum gagal. Perniagaan saya masih berjalan.
“Cuma penjenamaan dan strategi baharu perlu dibuat. Banyak benda kena baiki. Saya sebenarnya tak pandai. Budak kampung tapi bila Allah bagi rezeki begini, saya anggap satu anugerah. Reti atau tidak, kau kena buat jadi reti,” katanya.
Terdahulu, Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Noor Murad, 39, yang akan mengerjakan umrah bersama Shuib ketika ditemui memaklumkan, banyak dugaan dilalui sahabatnya ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



