BEIRUT: Mantan Setiausaha Agung Hizbullah, Al-Syahid Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan udara Israel, September tahun lalu akan dikebumikan pada 23 Februari ini.
Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem, berkata pengebumian itu juga akan melibatkan Ketua Majlis Eksekutif Hizbullah, Hashem Safieddine yang terbunuh seminggu selepas pembunuhan Nasrallah di selatan Beirut.
“Setelah keadaan keselamatan menghalang upacara pengebumian selama dua bulan akibat peperangan besar antara Hizbullah dan Israel yang berakhir pada 27 November, Hizbullah memutuskan untuk mengadakannya pada 23 Februari, satu upacara pengebumian awam untuk Nasrallah.
“Safieddine akan dikebumikan sebagai Setiausaha Agung, atau pemimpin Hizbullah kerana kami telah memilih Yang Mulia Sayyed Hashem (Safieddine) sebagai Setiausaha Agung. Tetapi beliau syahid pada 3 Oktober, sehari atau dua hari sebelum pengumuman itu.
“Nasrallah akan dikebumikan di pinggir Beirut, di sebidang tanah yang kami pilih antara jalan lapangan terbang lama dan baru. Manakala Safieddine akan dikebumikan di kampung halamannya di Deir Qanoun di selatan Lubnan,” katanya lewat malam semalam.
Pertempuran antara Hizbullah dan Israel mencapai kemuncak pada September lalu, menyaksikan ramai komander tertinggi dan pemimpin kumpulan pejuang itu terbunuh dalam serangan udara Israel.
Sejak 27 November 2024, perjanjian gencatan senjata telah dicapai. Namun, Zionis Israel terus melakukan serangan di Lubnan, mendakwa mereka bertujuan untuk menghapuskan ancaman Hizbullah. – AGENSI








