Kukuh nilai ringgit

Kukuh nilai ringgit

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Cadangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus kepada pekerja asing, dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi negara menerusi peningkatan pelaburan domestik serta pengukuhan ringgit.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah itu boleh menambah jumlah dana KWSP yang kemudiannya dilaburkan dalam pasaran kewangan tempatan dan global.

“Ia akan meningkatkan kecairan KWSP sekali gus membantu mengimbangi aliran caruman dan pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata, caruman terbabit juga berpotensi mengurangkan aliran keluar wang ke negara asal pekerja asing, yang secara tidak langsung boleh membantu menstabilkan Imbangan Pembayaran negara serta memperkukuhkan nilai ringgit.

Menurutnya, langkah ini juga menunjukkan keprihatinan Malaysia dalam menyediakan jaminan sosial kepada pekerja asing dan menggalakkan mereka mempunyai simpanan selepas bersara.

“Langkah caruman KWSP kepada pekerja asing ini juga menunjukkan komitmen Malaysia untuk tidak mendiskriminasi keperluan jaminan sosial pekerja, sama ada rakyat tempatan atau warga asing,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, caruman sebanyak dua peratus untuk pekerja asing itu harus dilihat dari sudut positif kerana ia menjadikan pasaran tenaga buruh negara lebih kompetitif.

Beliau berkata, inisiatif itu juga memberi taraf kebajikan lebih baik kepada pekerja asing di Malaysia sama ada tenaga kerja berkemahiran tinggi ataupun tidak.

“Ini sekaligus mampu menarik tenaga kerja mahir yang berkualiti ke Malaysia dan selain dari itu ia dapat mengurangkan pekerja asing yang tidak berdaftar kerana kaedah pendaftaran dan ‘pemutihan’ mungkin lebih rumit.

“Bagaimanapun kerajaan perlu memberikan lebih masa kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk melaksanakan dasar ini seperti pelaksanaan gaji minimum RM1,500 tahun lalu iaitu sekurang-kurangnya enam bulan untuk menyelaraskan kos operasi mereka kerana mereka juga terpaksa menyerap kenaikan gaji minimum RM1,700 yang bermula bulan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top