Kempen pembersihan etnik di Tebing Barat

Kempen pembersihan etnik di Tebing Barat
Kempen pembersihan etnik di Tebing Barat

Kenderaan milik Zionis berterusan keluar dan masuk di sekitar bandar utama di Tebing Barat sejak lebih dua minggu lalu.

RAMALLAH – Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan serbuan ganas dilancarkan Israel ke atas Tebing Barat yang telah meragut 70 nyawa sebagai kempen pembersihan etnik.

Jurucakap Presiden, Nabil Abu Rudeinah menegaskan Abbas turut mengutuk operasi ketenteraan yang diperluaskan di wilayah tersebut di bawah pelan jahat untuk mengusir penduduk Palestin sama seperti yang dirancang di Genting Gaza.

Tentera Israel terus memperhebatkan serbuan ganas di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat.

Tentera Israel terus memperhebatkan serbuan ganas di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat.

“Antara korban kezaliman rejim Zionis di Tebing Barat sejak bulan lalu ialah warga emas, wanita dan kanak-kanak. Israel juga membinasakan puluhan kediaman penduduk Palestin,” ujar Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah.

Zionis melancarkan Operasi Tembok Besi ke atas wilayah tersebut pada 21 Januari lalu atas alasan mahu menghapuskan kumpulan pejuang Palestin di kawasan Jenin.

“Kami menuntut campur tangan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) supaya menghentikan kekejaman sekutu mereka ke atas penduduk Palestin dan tanah milik kami sebelum situasi bertambah buruk,” lapor agensi berita Wafa memetik kenyataan Rudeinah.

Jasad penduduk Palestin yang terkorban selepas kereta dinaiki mereka dibedil Zionis di bandar Qabatiya.

Jasad penduduk Palestin yang terkorban selepas kereta dinaiki mereka dibedil Zionis di bandar Qabatiya.

Sementara itu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia di wilayah Palestin, Francesca Albanese juga mengecam jenayah kejam Zionis di Tebing Barat.

“Tindakan pembunuhan beramai-ramai jelas mahu menghapuskan penduduk Palestin. Ia perlu dihentikan serta-merta,” tegasnya.

Jurucakap Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan menggesa komuniti antarabangsa supaya menghalang Israel mengulangi kempen genosid di Gaza.

“Meskipun pelaksanaan gencatan senjata di enklaf itu, Zionis berterusan melakukan kekejaman di Tebing Barat. Negara antarabangsa perlu mengambil tindakan serius terhadap pelanggaran yang dilakukan Israel. Kita tidak sewajarnya menormalkan pembunuhan beramai-ramai seperti ini,” kata Esmaeil Baghaei.

Pada Ahad, Kementerian Luar Palestin menyelar tindakan Zionis memusnahkan struktur di Jenin yang kononnya ‘markas pejuang Palestin’ yang diburu Israel sejak lebih dua minggu lalu.

“Mereka tergamak mengebom kawasan kejiranan kem pelarian Jenin. Ia benar-benar tidak berperikemanusiaan,” menurutnya. – Agensi

Scroll to Top