Putrajaya: Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan di tempat letak kereta bertingkat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, semalam tidak membabitkan unsur sabotaj.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, insiden membabitkan Honda WRV dipandu lelaki berusia 39 tahun yang melanggar tembok penghalang di aras 3B pada 1.15 tengah hari, berlaku disebabkan kecuaian.
“Hasil temu bual bersama mangsa, beliau tidak mengalami sebarang kecederaan dan dalam keadaan selamat.
“Beliau memaklumkan tiada unsur sabotaj dan kemalangan adalah atas kecuaian sendiri kerana tertekan pedal minyak secara tidak sengaja dan hilang kawalan lalu melanggar tembok di aras 3B tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu, tembok penghalang pecah dan serpihan batu terkena sebuah Toyota Avanza yang berada di bawah aras terbabit.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran awam,” katanya.
Sebelum ini, tular gambar bahagian belakang sebuah kenderaan terkeluar daripada tempat letak kereta bertingkat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



