Deko rumah cara anda

Deko rumah cara anda

hafizithnin@mediaprima.com.my

MELIHAT dekorasi menarik semestinya memberi inspirasi kepada ramai pemilik rumah.

Hiasan dalaman yang menarik juga mampu memberikan aura positif kepada si pemiliknya.

Malah, ada yang sanggup berbelanja besar mendapatkan dekorasi rumah yang mereka impikan kerana ia dilihat mampu memberi keselesaan kepada si penghuninya.

Namun, ada juga yang mengambil langkah melakukan sendiri (DIY) kerja dekorasi sendiri atau kerana ia dilihat dapat menjimatkan kos dan turut mempunyai nilai sentimental.

Sebenarnya untuk melakukan DIY dekorasi rumah, tidak begitu sukar jika anda bijak dan kreatif mengambil kira beberapa elemen penting bagi tujuan itu.

Justeru, dalam Dekotaman kali ini kami kongsikan beberapa panduan yang mungkin boleh anda gunakan:

1. Pemilihan perabot

Perabot adalah elemen paling ketara jika berada dalam sesuatu ruang kerana ia boleh dikatakan sebagai elemen yang mendominasi pemandangan. Maka pemilihan perabot adalah perkara paling utama.

Perabot juga memainkan peranan utama dalam membentuk tema atau konsep dekorasi yang anda inginkan, misalnya jenis rustik ia mesti mempunyai elemen tradisional dan kayu.

Jenis futuristik pula membabitkan pemilihan bentuk perabot yang kelihatan moden dan mempunyai warna metalik seperti gangsa atau perak akan mengangkat tema dekorasi anda inginkan.

2. Rona

Rona adalah perkara yang tidak boleh diambil ringan ketika anda ingin mendekorasi rumah kerana ia mampu memberi kesan besar kepada pemandangan secara keseluruhan.

Pastikan anda bijak dalam memilih rona yang mampu memberi keseimbangan dan kepaduan dengan keseluruhan ruangan termasuk perabot yang bakal diketengahkan.

Rona juga perlu bersifat mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Misalnya, di ruang tamu anda memilih warna yang putih, krim atau kelabu lembut, di ruang lain dinasihatkan tidak secara tiba-tiba wujud satu rona terang kerana ia akan kelihatan canggung.

Malah rona juga boleh memberi kesan kepada keluasan dalam sesuatu ruang. Secara umumnya, warna lembut mampu menjadikan ruang lebih kelihatan luas berbanding warna gelap.

3. Pokok hiasan

Ketika ini ada banyak pokok hiasan yang boleh hidup dalam ruang yang tidak memerlukan pancaran matahari yang banyak dan anda boleh menggunakan pokok hidup untuk dijadikan hiasan.

Kewujudan pokok hiasan dalam ruang terutama jenis berdaun hijau terang mampu memberikan kesan menarik dalam sesuatu ruang tanpa mengira sebarang konsep rumah yang anda pilih.

Jika anda seorang yang tidak mempunyai masa untuk menguruskan pokok hiasan asli, ketika ini di pasaran ada banyak pokok hiasan tiruan dan lebih mudah diuruskan. Hanya perlu membuang habuk.

4. Mempunyai fungsi

Hanya cantik, tetapi tidak mempunyai fungsi dalam dekorasi rumah dilihat sesuatu pembaziran. Pastikan dekorasi anda cipta itu mempunyai fungsi kepada penghuninya.

Ia bukan sahaja membabitkan pemilihan perabot, tetapi turut membabitkan ruang yang akan didekorasi itu. Misalnya ada ruang luas di bawah tangga, anda boleh wujudkan satu kabinet untuk menyimpan pelbagai barangan.

Selain itu, pilih perabot yang sesuai dalam sesuatu ruang, tetapi ia boleh menjadi tempat untuk anda ‘menyorokkan’ pelbagai barangan yang jarang digunakan. Contohnya, sofa yang mempunyai dwifungsi iaitu sebagai tempat duduk dan di bawahnya ada ruang menyimpan barangan.

5. Dekorasi dinding

Menjadi ikutan ketika ini ada banyak dekorasi dinding termasuk panel kayu, jubin atau menggunakan cat sahaja untuk memberikan kesan titik fokal dalam sesuatu ruang.

Anda boleh memilih pelbagai jenis dekorasi dinding yang sesuai dengan tema dekorasi rumah yang anda inginkan dengan bijak. Contohnya, untuk tema yang kelihatan mewah, hiasan dinding berjubin mungkin boleh menyerlahkan konsep itu kerana elemen berkilat yang ada di permukaannya.

Selain itu, anda juga boleh hanya mengecat dinding yang mempunyai corak unik sebagai salah satu titik fokal dalam ruang. Namun, ia perlu dilakukan secara berhati-hati untuk memastikan ada kesinambungan dengan rona cat lain dalam ruang berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top