PGA bongkar kilang proses buangan elektronik haram, rampasan RM10.3 juta

PGA bongkar kilang proses buangan elektronik haram, rampasan RM10.3 juta

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Kegiatan sebuah kilang memproses buangan elektronik (e-waste) secara haram terbongkar apabila diserbu oleh sepasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Jafri Muhamad berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12 tengahari, pasukan turut membuat rampasan berjumlah RM10.3 juta.

Menurutnya, serbuan itu membawa kepada penahanan dua pekerja warga Kemboja di kilang berumur antara 24 tahun hingga 42 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis, mendapati sejumlah barangan buangan yang dikategorikan sebagai Buangan Terjadual di dalam jadual pertama, Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling Terjadual 2005.

“Barangan dirampas adalah 120 tan logam tembaga, 200 tan logam aluminium, 80 tan logam keluli (stainless steel), sebuah mesin pemotong wayar, dua mesin pemampat, dua mesin kompresor, mesin pelurus logam.

“Pasukan turut merampas tiga forklift beserta kunci, 250 meter elektrik, mesin penimbang berat dan lori 10 tan beserta kunci, dengan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM 10,315,000,” katanya dalam kenyataan hari ini

Jafri berkata, semua rampasan diserahkan kepada pihak JAS atas kesalahan mengikut Seksyen 22, 25, 34A, dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1976(1)(c).

“Manakala semua tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di bawah Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan selanjutnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top