New Delhi: Penyanyi dan penulis lagu terkenal Britain, Ed Sheeran diminta menghentikan persembahan jalanan oleh polis Bengaluru, didakwa kerana tiada kebenaran.
Penyanyi itu yang dalam konsert jelajah di India apabila melakukan persembahan percuma di Jalan Gereja pada Ahad, sebelum dihentikan polis dan dikenakan tindakan.
Sheeran kemudian mengeluarkan kenyataan berhubung situasi dihadapinya.
“Kami sebenarnya mempunyai kebenaran untuk busking, sebab itulah memainkan muzik di kawasan berkenaan, semuanya dirancang lebih awal.
“Kami bukanlah muncul secara tiba-tiba. Semua baik-baik saja. Jumpa anda di persembahan malam ini (Ahad),” tulis Sheeran di Instagram storynya.
Dalam video yang dikongsi meluas di media sosial, pemenang Grammy Award itu sedang membuat persembahan di Jalan Gereja sebelum dihentikan seorang pegawai polis, beberapa minit selepas dia mula menyanyi lagu hitnya ‘Shape of You’.
Polis menyatakan bahawa acara itu tidak mendapat kebenaran rasmi, sementara pasukan Sheeran mendakwa ia adalah persembahan singkat yang sudah pun mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Memetik portal NDTV, Polis Bengaluru Tengah, Shekar T Tekkannanavar dilapor berkata, pasukan penganjur ada memohon untuk melakukan persembahan jalanan, namun permohonannya ditolak.
“Penolakan itu disebabkan trafik di laluan berkenaan sibuk dan berdasarkan arahan mahkamah, beberapa pengosongan perlu dilakukan,” katanya, yang menambah kerana itu Sheeran diminta beredar.
Semalam adalah hari kedua konsert Ed Sheeran di Bengaluru. Beliau sebelum ini sudah membuat persembahan di Pune, Hyderabad, dan Chennai.
© New Straits Times Press (M) Bhd



