Pengarah Hospital Kamal Udwan disiksa Israel

Pengarah Hospital Kamal Udwan disiksa Israel

(Keadaan terkini) Dr Husam mengalami masalah bengkak hati dan penurunan mendadak berat badan hasil siksaan dalam tahanan

– Advertisement –

PADA 7 Januari lalu, Harakahdaily menyiarkan berita Dr Husam Abu Safiyah, pengarah Hospital Kamal Udwan yang ditahan oleh tentera Israel, tidak diketahui bagaimana keadaannya dan di mana lokasi penahanannya secara pasti.

Peguam dan anggota badan hak asasi manusia tidak dibenarkan menemuinya.

Pada 9 Januari, Dr Husam yang ditangkap sejak 27 Disember diberitakan dikurung kem tahanan Sde Teiman, hampir 40 kilometer dari sempadan Gaza. Perkara ini didedahkan oleh dua orang bekas tahanan yang bebas dari penjara Israel.

Selepas itu berita berkenaan Dr Husam senyap sepi. Tidak diketaui apa yang berlaku.

Masing-masing ternanti-nanti dan mengharapkan nama ‘Husam Abu Safiyah’ termasuk dalam senarai tukaran tahanan dalam pelan gencatan senjata yang bermula 19 Januari lalu.

Namun setelah beberapa siri tukaran tahanan, kelibat Dr Husam tidak kelihatan.

Hinggalah Selasa 11 Februari, sebuah badan hak asasi manusia mendedahkan sekumpulan peguam berjaya menemui Dr Husam dan memaklumkan keadaannya yang sangat mendukacitakan.

Pusat Hak Asasi Manusia al-Mizan mendakwa, selama 47 hari ditahan dan dinafikan hak bertemu peguam, Dr Husam telah dikurung dan disiksa dengan pelbagai jenis siksaan hingga menjejaskan keadaan kesihatannya.

Belumpun dua bulan dalam tahanan, berat badannya telah berkurang 12 kilogram. Beliau turut mengalami pembengkakan hati tanpa menerima rawatan yang sepatutnya.

Dr Husam memberitahu peguam, sejak hari pertama ditahan, beliau terpaksa berhadapan dengan tindakan ganas tentera Israel. Tangannya diikat, pakaian ditanggalkan dan tubuh badannya dipukul sesuka hati.

Beliau turut didudukkan di atas batu yang tajam dalam tempoh yang lama serta dipukul dengan kayu letrik. Kaedah soal siasat dilakukan tanpa landasan undang-undang termasuk undang-undang antarabangsa.

Dia dituduh dengan perkara yang tidak pernah dilakukannya. Mereka mahu beliau mengaku terlibat dengan kumpulan pejuang. Sedangkan sepanjang masa Dr Husam hanya menyibukkan dirinya memberikan rawatan kepada pesakit dan mereka yang cedera.

Dr Husam adalah pakar kanak-kanak yang menjawat jawatan Pengarah Hospital Kamal Udwan, satu-satunya hospital yang beroperasi di Utara Gaza.

Pada 26 Oktober 2024, media menyiarkan gambar Dr Husam mengimamkan solat jenazah anaknya dalam kawasan hospital setelah dibunuh tentera Israel.

Pada 24 November, pengarah hospital itu sendiri cedera terkena serangan dron dalam kawasan hospital.

Setelah beberapa minggu dikepung, pada 27 Disember 2024 Hospital Kamal Udwan diserang, dibakar dan dimusnahkan oleh tentera Israel. Ratusan orang dibunuh, 350 orang awam dan staf hospital ditahan, termasuk Dr Husam.

Pertubuhan Al-Mizan menggesa agar Dr Husam segera diberi rawatan dan dibebaskan tanpa syarat.

Penahanan Israel terhadapnya adalah bercanggah dengan pelanggaran nyata terhadap peruntukan undang-undang antarabangsa, terutamanya peraturan untuk perlindungan kakitangan perubatan yang terkandung dalam Protokol Kedua Konvensyen Geneva Keempat.

USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang, Malaysia – HARAKAHDAILY 12/2/2025

https://harakahdaily.net/index.php/2025/01/07/di-mana-dr-husam-abu-sofiyah-ditahan-israel/

– Advertisement –

Scroll to Top