Zahnita pernah berdepan kemurungan kronik

Zahnita pernah berdepan kemurungan kronik

najiy.jefri@hmetro.com.my

Bangi: Model dan pelakon terkenal Zahnita Wilson pernah bergelut dengan kemurungan kronik hingga terpaksa mendapatkan rawatan di wad psikiatri sebuah hospital pada tahun 2019.

Zahnita atau nama sebenarnya, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, berkata, dia bagaimanapun tidak meneruskan rawatan itu selepas melihat keadaan lebih 50 pesakit lain yang berada dalam situasi kritikal berbanding dirinya.

“Saya pernah ke wad psikiatri ketika berada pada titik terendah dalam hidup, hingga merasakan perlu ditahan di sana untuk mendapatkan rawatan.

“Tetapi apabila tiba di wad itu, saya melihat sekeliling dan mendapati ramai pesakit lain yang sedang menunggu giliran, malah keadaan mental mereka jauh lebih teruk daripada saya.

“Ketika itu, saya sedar tidak sepatutnya berada di sana kerana keadaan saya tidak seteruk mereka. Akhirnya, saya memutuskan untuk berpatah balik dan pulang ke rumah,” katanya.

Zahnita ditemui pada majlis pengumumannya sebagai wajah NR Cosmetics bagi kempen Syawal 2025 di Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

Menurut Zahnita, dia mengaku hilang arah pada ketika itu hingga nekad mendapatkan bantuan pakar psikiatri, namun berusaha mencari ketenangan dengan l mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Mungkin kerana saya hilang arah pada waktu itu. Saya mencari ketenangan dengan membaca al-Quran dan berdoa pada Allah,” katanya.

Dalam masa sama, Zahnita mendedahkan suaminya, Abdul Zackery, 47, adalah individu yang membawanya ke wad psikiatri bagi memulihkan masalah kemurungan yang dihadapi.

“Dia (Abdul Zackery) yang membawa saya ke wad psikiatri itu. Mungkin ketika itu, dia melihat saya benar-benar berada pada tahap terendah dan kelihatan tidak tentu arah.

“Jadi, dia berusaha mencari seseorang yang boleh membantu saya dengan segera,” katanya.

Dunia hiburan digemparkan pada 3 Disember tahun lalu, apabila Zahnita nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang susulan pendedahan dirinya berdepan penderaan domestik.

Abdul Zackery ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan namun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas pertuduhan melakukan kecederaan terhadap isteri.

Suaminya pula menyatakan mangsa keganasan sebenar adalah dirinya, bukan selebriti terbabit bahkan dedahnya Zahnita meminta cerai daripadanya sepanjang 20 tahun mereka berkahwin.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata, Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun.

Dalam perkembangan lain, Zahnita dilantik menjadi duta bagi kempen raya 2025 untuk produk NR Cosmetics yag juga duta pertama syarikat terbabit selepas lapan tahun beroperasi.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top