Sri Pahang janji beri tentangan habis-habisan

Sri Pahang janji beri tentangan habis-habisan

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Biarpun dilihat peluang untuk menjulang Piala Malaysia agak sukar, Sri Pahang FC akan berusaha mempamerkan persembahan terbaik pada aksi final Piala Malaysia berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadualkan pada 26 April depan.

Pada masa sama, skuad Tok Gajah dilihat tempang tanpa dua pemain utama iaitu Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo, masing-masing digantung perlawanan kerana mengutip dua kad kuning dan status sebagai pemain pinjaman skuad Harimau Selatan.

Namun, pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad menaruh kepercayaan kepada pemain lain untuk membantu skuad itu memberi tentangan biarpun bakal berdepan kesukaran berdepan JDT yang berada pada prestasi terbaik.

“Saya harap pemain lain yang menggantikan tempat Sherman dan Hidalgo dapat membantu. Kita hanya berusaha dan Allah SWT yang akan menentukan dengan komitmen yang dipersembahkan pada aksi final itu nanti.

“Oleh itu, kita perlu mempertingkatkan motivasi dan mempunyai semangat juang tinggi apabila beraksi di pentas final. Sebenarnya kejayaan ke final adalah satu bonus buat pasukan dan seharusnya pemain memberikan persembahan terbaik.

“Jika dilihat dalam saingan Liga Super, Sri Pahang tempat ke-11 tetapi dalam saingan Piala Malaysia, kita mampu melangkah ke final,” kata legenda bola sepak Singapura itu.

Dalam saingan Piala Malaysia, skuad Tok Gajah menewaskan Selangor FC 3-2 menerusi agregat pada pusingan pertama, diikuti Perak FC 4-3 (suku akhir) dan Sabah FC 3-2 (separuh akhir).

Kali terakhir skuad Tok Gajah melangkah ke final piala berprestij itu pada 2014 dan bergelar juara pada musim itu selepas menewaskan JDT.

Namun, situasi kali ini jelas berbeza ketika skuad Tok Gajah tidak dapat menyenaraikan kesebelasan terbaik selepas kehilangan Sherman dan Hidalgo yang menjadi senjata utama di bahagian serangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top