am@hmetro.com.my
Teluk Intan: Berswafoto atau ‘selfie’ selepas berjaya ‘menawan’ menara pencawang telekomunikasi di sekitar sini untuk mencuri kabel sebagai koleksi peribadi.
Itu dilakukan seorang lelaki tempatan yang juga bekas juruteknik pencawang syarikat telekomunikasi yang ditahan, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan di Jalan Industri 3, Taman Industri Anson, di sini, jam 2.30 petang ketika memandu sebuah Proton Gen 2 dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan beberapa barangan dan peralatan yang disyaki berkaitan jenayah curi kabel termasuk set mesin pencanai (grinder), alat pemotong wayar, selain wayar berisi tembaga.
Katanya, antara yang dirampas adalah tiga beg plastik berisi wayar tembaga, masing-masing satu gulungan kabel tembaga warna hitam dan putih serta satu beg guni berisi wayar tembaga.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan kerugian bagi kesemua enam menara telekomunikasi yang ‘ditawan’ suspek berjumlah sekitar RM60,000.
“Suspek pergi ke pencawang ini di waktu malam seorang diri.
“Di setiap pencawang, lelaki itu akan berswafoto menandakan sudah berjaya ‘tawan’ setiap pencawang itu.
“Gambar swafoto suspek di setiap pencawang terbabit hanya disimpan di dalam telefon milik suspek yang dipercayai dilakukannya hanya sebagai hobi dan untuk rekodnya sahaja, serta tidak dimuatnaik ke mana-mana platform,” katanya ketika sidang media di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.
Ahmad Adnan berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek yang juga baru dibebaskan dari penjara Disember lalu, dipercayai terbabit dengan enam kes kecurian kabel di sekitar Teluk Intan, Langkap, dan Labu Kubong sejak awal tahun ini.
“Siasatan mendapati suspek adalah bekas juruteknik pencawang syarikat komunikasi dan dipercayai menjalankan kegiatan ini sejak Ogos 2024 iaitu termasuk kes yang dilakukannya bersangkutan laporan polis di sekitar Lembah Klang.
“Rekod jenayah menunjukkan suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes kecurian kabel di sekitar Lembah Klang serta dua rekod lampau berkaitan kes narkotik.
“Ketika ditangkap, suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Ahmad Adnan berkata, semua syarikat kontraktor yang dilantik oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi menyelenggara talian telekomunikasi supaya melakukan tapisan keselamatan termasuk menyelidik rekod lampau bagi setiap pekerja yang mahu diambil.
“Memandangkan suspek kes ini adalah bekas pekerja juruteknik pencawang, dia ada pengetahuan dan kepakaran untuk memotong wayar kabel tembaga tanpa direnjat arus,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan direman selama tujuh hari bermula 11 Februari lalu hingga Ahad ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

