Mengaku tawar pekerjaan tak wujud, 8 'scammers' didenda RM48,000

Mengaku tawar pekerjaan tak wujud, 8 'scammers' didenda RM48,000

am@hmetro.com.my

Melaka: Lapan daripada sembilan ahli sindiket penipuan pekerjaan antarabangsa didenda keseluruhan RM48,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas kesalahan itu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menetapkan hukuman itu selepas menerima pengakuan dan mensabitkan tertuduh, Ee Ching Jin, Chow Jing Qnan, Wong Sin Kien, See Poh Ying, Cheng Wei Yee, Wong Cheah Yi, Yu Quan dan warga China, Gao Jiayu, berusia antara 21 hingga 34 tahun seperti pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah, semua tertuduh didakwa bersama-sama dalam pakatan jahat jenayah menawarkan pekerjaan tidak wujud secara dalam talian dengan menyasarkan mangsa warga Barbados.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira 10 pagi di Unit A-22-10, The Wave Residences Kondominium Jaya di Taman Kota Laksamana di sini, pada 7 Februari lalu.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama 120B(1) dan Seksyen 34 kanun sama.

Mengikut fakta kes, semua tertuduh terbabit sindiket tipu kerja yang menyasarkan mangsa dari sebuah negara di kepulauan Caribbean dengan modus operandi mengiklankan tawaran pekerjaan palsu menerusi Facebook.

Mangsa yang berminat akan berkomunikasi dengan ahli sindiket melalui WhatsApp atau Telegram dan diarah membuat 32 jenis tugasan menerusi satu laman sesawang kononnya bertujuan menaikkan jumlah maklum balas (review) terhadap hotel dan filem di negara kepulauan berkenaan.

Apabila selesai tugasan pertama, mangsa yang berminat meneruskan tugasan diminta membayar kepada ahli sindiket dan turut dijanjikan dengan komisen dalam dolar Amerika Syarikat bagi setiap tugasan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman berat berbentuk pemenjaraan dikenakan atas alasan jenayah pusat panggilan penipuan yang semakin berleluasa dan bukan pertama di Melaka.

Peguam Dennis Chong Chin Wei yang mewakili semua tertuduh merayu hukuman denda paling minimum dan bukan pemenjaraan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap tertuduh serta memerintahkan mereka dipenjara lapan bulan jika ingkar membayar denda berkenaan.

Dalam prosiding sama, seorang wanita China, Chen Xiaoyun, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 109 KK iaitu bersubahat melakukan kesalahan itu pada masa, tarikh dan tempat sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top