'Saya sangat menyesal tidak ambil SPM'

'Saya sangat menyesal tidak ambil SPM'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Faktor persekitaran, tekanan rakan sebaya dan masalah keluarga menyebabkan Amzar Mohd Azhari tidak meneruskan persekolahan selepas tingkatan satu sekali gus tercicir daripada menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Amzar, 26, berkata, keputusannya berhenti sekolah dibuat secara mengejut selepas merasakan semakin tersisih dalam kalangan rakan sebaya.

“Saya mula berasa terasing dalam kalangan rakan. Apabila ada sesi belajar bersama, saya selalu diketepikan, lama-kelamaan saya hilang semangat.

“Perpisahan ibu bapa juga menjadi punca semakin hilang motivasi untuk belajar. Sejak itu, saya tidak hadir ke sekolah selama empat bulan,” katanya.

Amzar berkata, pada waktu itu, dia tidak menyedari kesan jangka panjang terhadap keputusan yang diambilnya.

“Pada mulanya, saya tidak merasakan sebarang kesan tetapi apabila sudah bertahun berlalu, baru saya sedar susah untuk mencari kerja tanpa SPM,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Adam Qusyairi Mohd Zulkifly, 20, berkata, dia mengakui bahawa pada awalnya tidak merasa kesal dengan keputusan berhenti sekolah.

“Tetapi, selepas melihat rakan lain melanjutkan pelajaran ke universiti, saya mula berasa cemburu dan menyesal.

“Saya berhenti sekolah ketika berumur 15 tahun kerana menghadapi beberapa masalah peribadi.

“Sejak berhenti sekolah pada tahun 2020, saya sudah melakukan pelbagai pekerjaan tetapi tidak bertahan lama,” katanya.

Adam berkata, dia mengambil keputusan meninggalkan zaman persekolahannya lima tahun lalu tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang.

“Saya bercadang menduduki SPM sebagai calon persendirian untuk memperbaiki masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Kerani yang hanya ingin dikenali sebagai Mimi, 21, pula berkata, walaupun sudah berkerja, dia mengakui bahawa ketiadaan sijil SPM adalah halangan terbesar dalam merancang masa depannya.

“Zaman sekarang kalau tiada sijil SPM memang susah nak cari kerja sebab mana-mana kita pergi pun, syarikat mesti akan tanya dan minta sijil SPM,” katanya.

Dia yang hanya memiliki kelulusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berkata, dia tidak dapat menduduki peperiksaan SPM disebabkan tidak pernah bersekolah menengah sebaliknya belajar di madrasah.

“Pada mulanya, saya tidak faham betapa pentingnya SPM. Saya tidak pernah bersekolah menengah dan hanya mendapatkan pendidikan di madrasah.

“Sebab itu saya tidak sempat untuk ambil SPM. Kesannya saya rasa sehingga kini apabila terpaksa berdepan kesukaran dalam mencari pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Mimi mengakui bahawa mencari pekerjaan yang lebih baik menjadi sangat sukar dan walaupun dia memiliki pengalaman kerja, banyak syarikat yang menetapkan kelayakan untuk calon pekerja mereka adalah memiliki SPM atau sekurang-kurangnya diploma atau ijazah.

“Walaupun ada pengalaman kerja yang banyak, ia tidak cukup melayakkan saya bekerja di tempat yang lebih baik kerana kebanyakan syarikat hanya menerima pekerja dengan kelulusan SPM dan ke atas.

“Saya sangat menyesal tidak mengambil SPM dulu. Kalau saya ambil SPM dulu, mungkin saya sudah selesai dan boleh melanjutkan pelajaran.

“Kalau boleh, saya harap dapat ulang masa lalu dan ambil SPM tanpa bertangguh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top