am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap sebagai angkuh ketika memberikan reaksi berhubung persediaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan menanti di Kedah.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keangkuhan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu boleh diumpamakan seperti sikap firaun ketika berhadapan Nabi Musa ketika berdakwah.
Katanya, mengikut sejarah, sikap keangkuhan secara kebiasaannya hanya akan menyebabkan kebinasaan sama seperti yang terjadi kepada firaun.
“Dia (Muhammad Sanusi) nak jawab politik ‘menantilah sampai kiamat’ terpulanglah, dalam al-Quran ada menceritakan reaksi macam itu adalah angkuh, sombong dan bongkak, itulah kalimah firaun kepada Nabi Musa.
“Itulah kalimahnya umpama ‘hang siapa nak lawan aku, pengikut hang ramai ke sikit?’ Pengikut Nabi Musa sikit, pengikut firaun ramai.
“Firaun sampai tahap tak takut mati, demam pun tidak, selsema pun tidak, tiba-tiba Nabi Musa nak rampas kuasa dia, hang siapa? Sampai begitu kekuatannya sampai dia mengaku tuhan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Perpaduan Kedah di sini, hari ini.
Saifuddin yang juga Pengerusi PH Kedah berkata, berikutan itu pihaknya kini menetapkan sasaran sebagai kerajaan menanti dan bersedia menjadi pembangkang yang kuat di Kedah.
Katanya, PH Kedah juga akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau setiap kerja dilakukan Exco negeri bagi mewujudkan amalan semak dan imbang.
“Jangan gundah gulana, tetapkan matlamat kita, persiapkan kekuatan kita, fokus gerak kerja kita, dia nak lawan dari segi politik angkuh biarkanlah.
“Kita di Kedah kedudukan kita pembangkang, hasrat kita nak jadi pembangkang yang kompeten, boleh semak dan imbang kepada Menteri Besar mengenai apa dasar ekonomi, kebajikan, pembangunan, pelaburannya.
“Matlamat kita adalah mempersiapkan PH dan BN kerana kita ada pemimpin yang berpengalaman, kita akan buat cerminan kepada setiap Exco dan serentak itu kita mahu menjadi kerajaan menanti,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi pada sidang media Khamis lalu, berkata mana-mana pihak dan individu boleh mempersiapkan diri sebagai ‘kerajaan menanti’ di Kedah, namun keputusan akhir tetap di tangan pengundi yang akan menentukannya pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, pihak terbabit secara bebas boleh merancang merampas Kedah daripada pentadbiran Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
“Menantilah sampai kiamat, selamat menanti, terima kasih. Boleh (umum kerajaan menanti), sesiapa pun boleh pasang cita-cita. Siapa yang belum dapat (jadi kerajaan), dia akan kata kerajaan menanti. Siapa yang sudah terlepas nak kata apa, kerajaan yang hilang?
“Boleh pasang cita-cita, tak ada masalah. Ini dunia demokrasi, dia boleh beritahu siapa ‘lineup’ (barisan kepimpinan), tetapi tunggu pilihan rakyat akan datang, masa itu menanti atau menunggu, kita tengok,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




