am@hmetro.com.my
Yan: Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku kepada seorang nenek, empat cucu serta pembantu rumah mereka yang terselamat selepas Perodua Myvi dinaiki diseret sebuah treler ke sebuah kedai runcit di simpang tiga Singkir, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Yan, Asisten Superintendan Musa Rabien berkata, kejadian berlaku jam 5.20 petang membabitkan Perodua Myvi dipandu wanita warga emas berusia 70 tahun dengan sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 54 tahun.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, Perodua Myvi dinaiki lima sekeluarga serta pembantu rumah datang dari arah Yan ke Tanjung Dawai manakala treler itu dari arah Tanjung Dawai menghala ke Merbok.
Katanya, pemandu Perodua Myvi itu terus membelok ke arah Tanjung Dawai menyebabkan treler itu tidak sempat berbuat apa-apa dan terus mengheret kereta berkenaan masuk ke dalam kedai runcit.
“Namun pemandu treler itu sempat membrek menyebabkan impak kemalangan itu tidak berapa kuat.
“Kesemua mangsa dalam kereta itu ada enam orang iaitu nenek serta empat cucunya berusia antara lima hingga 11 tahun dan pembantu rumah berusia 54 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Musa berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan difahamkan sejurus selepas kejadian mereka masih dalam keadaan sedar.
Katanya, pemandu dan semua penumpang Perodua Myvi itu dipercayai tinggal di kawasan berhampiran iaitu di Kampung Permatang Keramat, dekat sini.
“Pemandu lori treler itu tidak cedera dan dia bersama treler serta Perodua Myvi dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Yan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Musa berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




