am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seekor beruk didapati mengganggu keselesaan penduduk di sekitar kawasan Bandar Permas Jaya dan Plentong di sini, sejak dua minggu lalu.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Baru Permas Jaya A, Habib Syed Sallilah Aasad berkata, haiwan berkenaan menimbulkan gangguan kepada penduduk hingga kehadirannya dibimbangi menjejaskan keselamatan penduduk.
Menurutnya, haiwan berkenaan dipercayai peliharaan penduduk kerana memiliki tali di leher dan mungkin terlepas atau diabaikan tuan.
Katanya, dua minggu lalu, ia dikesan di bumbung rumah penduduk di Jalan Bunga Raya di Plentong, Masai sebelum dilihat di Jalan Permas 12 dan Jalan Permas 1, Bandar Permas Jaya, minggu lalu.
“Penduduk mendakwa beruk itu melarikan anak kucing peliharaan, menyelongkar tong sampah dan memecahkan kaca hadapan rumah.
“Ia dikesan berada di lokasi berbeza yang jauhnya antara satu hingga lima kilometer iaitu di Plentong dan Bandar Permas Jaya.
“Kami sudah melaporkan kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Terdapat tindakan dilakukan termasuk membuat perangkap namun masih gagal.
“Dari jauh ia mampu melihat kehadiran penguat kuasa sebelum bergerak ke lokasi lain,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Jaafar Abd Halim berkata, dia khuatir haiwan itu boleh menyerang penduduk terutama kanak-kanak.
“Kami berharap tindakan memerangkap haiwan itu diteruskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




